Saranan bina bangunan pusat pentadbiran baharu: belum ada kata putus, perlu perbincangan lanjut – respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan dan saranan untuk memindahkan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri yang beroperasi di Komtar kini ke kawasan baharu masih belum ada sebarang jawapan, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Kon Yeow ketika diajukan soalan tersebut pada sidang media di Komtar sebentar tadi berkata, cadangan serta saranan tersebut akan dibincangkan.

Jelas beliau, perkara berkaitan belum diputuskan, sebaliknya menegaskan bahawa pihak Kerajaan Negeri memerlukan masa untuk memperhalusi cadangan itu termasuk menilai keperluannya.

“Setakat ini belum ada sebarang jawapan, ia perlu dibincangkan sama ada perlu atau tidak untuk memindahkan pusat pentadbiran kini di Komtar ke suatu kawasan baharu.

“Ia masih satu cadangan dan sememangnya Kerajaan Negeri mengambil maklum akan seruan TYT (Yang di-Pertua Negeri), dan kita tidak berani melangkaui cadangan tersebut selagi tidak berbincang lanjut.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan melakukan perbincangan mengenai perkara ini, kita akan mendengar maklum balas dan cadangan terlebih dahulu sama ada ia benar-benar perlu ataupun tidak,” ujar Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Terdahulu, pada sesi ucapan perasmian Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang minggu lalu, TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyarankan agar pusat pentadbiran Kerajaan Negeri kini dipindah dan dibangunkan di suatu kawasan baharu yang turut merangkumi bangunan DUN di kawasan sama.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa sekiranya hasrat dan cadangan tersebut benar-benar direalisasikan kelak, bangunan pentadbiran Komtar boleh dicadangkan sebagai bangunan komersial, hotel, kolej dan sebagainya.

“Jika ia benar terjadi, Komtar boleh dipertimbangkan semula seperti cadangan ADUNnya (Lai Heng) untuk dijadikan kawasan komersial, hotel atau kolej.

“Sememangnya, proposal (cadangan) ini telahpun disuarakan beberapa tahun lalu semasa era pentadbiran Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN), yang mana Bayan Mutiara dipilih sebagai lokasi pentadbiran yang baharu.

“Walau bagaimanapun, ketika mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008, mantan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bertegas untuk mengekalkan Komtar sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Ketika itu, kita fikir jika pusat pentadbiran Komtar dipindahkan, ia (Komtar) akan menjadi lebih teruk, tapi kini terdapat alternatif atau kegunaan lain untuk Komtar,” jelas beliau lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN