Sasar 100% pembayaran tanpa tunai menjelang 2030

Admin

GEORGE TOWN – Sebagai usaha ke arah transformasi digitalisasi penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 100 peratus pembayaran secara tanpa tunai dapat dicapai menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada masa kini, semua 23 jabatan pemungut hasil di negeri ini telah menggunakan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu medium kutipan hasil.

Ketua Menteri menyempurnakan gimik Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebentar tadi.

“Pada tahun 2022, semua jabatan pemungut hasil Kerajaan Negeri berjaya memungut sebanyak 2,110,566 bilangan transaksi iaitu 71.99 peratus daripada keseluruhan jumlah transaksi dilakukan.

“Daripada segi nilai kutipan hasil yang diperoleh sepanjang tahun lepas pula adalah sebanyak RM620,157,685.04 iaitu 50.16 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Syarikat Paynet Sdn. Bhd., Firdaus Ghani.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri turut melaksanakan Kempen Hari Tanpa Tunai bagi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri pada setiap hari Jumaat bermula 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.

“Oleh itu, orang awam yang hendak melakukan pembayaran di kaunter-kaunter pejabat kerajaan pada setiap hari Jumaat hendaklah menggunakan kaedah e-pembayaran yang disediakan seperti e-wallet, QR Code, online banking atau terminal kad debit atau kredit.

“Selain itu, orang awam juga boleh membuat pembayaran di smart kiosk dan secara atas talian melalui portal kerajaan seperti portal e-Bayar, Aspire, MBSPPay, Cyber Counter dan lain-lain,” jelasnya lanjut.

Antara kakitangan jabatan Kerajaan Negeri yang hadir.

 

Pada masa sama menurut beliau, pihak PayNet akan membiayai RM500,000 untuk tujuan promosi dan hadiah wang tunai sempena pertandingan bagi Kempen Hari Tanpa Tunai tersebut.

“Sebanyak 23 jabatan dan agensi layak bertanding bagi meraih hadiah yang ditawarkan dan pemenang akan dipilih berdasarkan rekod bilangan transaksi tertinggi melalui platform e-pembayaran yang diperoleh oleh jabatan dan agensi kerajaan masing-masing,” katanya.

Difahamkan, sebanyak RM300,000 diperuntukkan sebagai hadiah wang tunai kepada pemenang yang dibahagikan kepada tiga kategori.

Kategori A adalah melibatkan jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2021 melebihi 30,000 transaksi manakala kategori B pula bagi jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi antara 1,000 hingga 30,000.

Kategori C pula adalah bagi jabatan yang berjaya mengutip jumlah bilangan transaksi melalui e-pembayaran pada tahun 2021 tidak kurang daripada 1,000 transaksi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa bagi meneruskan agensi transformasi digital di negeri ini, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha bagi memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai dalam masa terdekat khususnya di tempat-tempat tumpuan umum.

“Ini termasuklah tempat pelancongan utama seperti Bukit Bendera dan Batu Feringghi, kawasan perniagaan, penjaja, gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga peruncit, dan kompleks beli belah.

“Selain itu, inisiatif ini juga akan merangkumi kafeteria, kedai dan pasar mini yang beroperasi di dalam syarikat multinasional di Zon Perindustrian Bayan Lepas dan Bayan Baru serta perniagaan di dalam dan sekitar kawasan Komtar,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD