Tiada lagi kes baru positif ASF direkodkan setakat ini

Admin

GEORGE TOWN – Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sayuthi Bakar memaklumkan bahawa tiada lagi kes baharu positif Demam Babi Afrika (ASF) direkodkan di ladang ternakan komersial dekat negeri Pulau Pinang setakat ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat khas berkaitan langkah-langkah kawalan wabak ASF yang diadakan dekat Komtar pada 8 Januari lalu.

“Buat masa sekarang, kes ASF masih lagi terkawal dan dikendalikan pada peringkat daerah sahaja kerana jangkitan disahkan hanya melibatkan daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang masih memantau perkembangan semasa dan kita akan mengambil tindakan pantas bagi memastikan kes ASF tidak merebak ke ladang-ladang lain di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Sayuthi Bakar.

Sayuthi berkata, setakat ini kerja-kerja pemusnahan di sebuah ladang ternakan yang telah dikesan terdapat kes positif ASF telah selesai dijalankan yang merangkumi kira-kira 1,500 ekor babi.

“Ladang kedua pula masih pada peringkat pemantauan kerana berdasarkan semakan kita, memang ada kes jangkitan dikesan dan kita sedang membuat pemantauan kerana bilangan kematian masih lagi tinggi.

“Kita sedang menunggu keputusan daripada pihak JPV sama ada semua bilangan babi di ladang tersebut perlu dimusnahkan atau tidak, dan sekiranya perlu kita akan lakukan secara berperingkat.

“Sekarang, pihak JPV bersama-sama pegawai daerah SPS sedang mengadakan perbincangan untuk menentukan kaedah pemusnahan kerana kita memerlukan tapak untuk tujuan pelupusan,” katanya sambil menambah bahawa ladang kedua mengandungi kira-kira 2,500 ekor babi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang turut hadir pada sidang media tersebut menegaskan bahawa semua ladang yang dikesan positif kes ASF perlu diuruskan dengan sewajarnya.

“Sekarang kita berada pada peringkat melaksanakan ladang ternak secara tertutup, jadi ada pengusaha yang sudah mempunyai lesen dan ada juga masih dalam proses pematuhan.

“Oleh itu pada peringkat ini, sama ada pengusaha (ladang babi) mempunyai lesen atau tidak tetapi sekiranya ada kes positif dikesan ia perlu diuruskan,” tegasnya.

Terdahulu, JPV Negeri Pulau Pinang menutup sebuah lagi ladang ternak babi di Perkampungan Valdor ekoran terdapat kes baharu positif ASF.

Pengarah Veterinar Negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab memberitahu bahawa kes baharu itu menjadikan dua kes terkumpul positif ASF di negeri ini setakat ini.

Difahamkan, kes pertama positif ASF dikenal pasti di ladang ternak babi yang beroperasi tanpa lesen, manakala kes kedua pula di ladang yang beroperasi dengan lesen bersyarat serta dalam proses penukaran kepada ladang tertutup.

Berdasarkan data bancian JPV negeri, terdapat 124 ladang ternak babi di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, mengikut daerah di sini, terdapat 42 ladang di Valdor, Lima Kongsi (4), Jawi (6), Simpang Ampat (4), Sungai Bakap – Wellesley (6) dan Nibong Tebal (1).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING