Sasar jualan RM1 juta sempena Agrofiesta Aidilfitri 2024

Admin
dsc 5586

GEORGE TOWN – Sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan program Agrofiesta Aidilfitri bertujuan memaksimumkan pendapatan usahawan serta memasarkan produk keluaran usahawan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Penganjuran kali kelapan ini melibatkan seramai 43 usahawan yang menyertai program berkaitan melibatkan pelbagai kluster seperti industri pemakanan, hasil kraftangan, barangan kosmetik serta pakaian.

dsc 5551
FAHMI Zainol semasa sesi ucaptama sebentar tadi.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, perkembangan berterusan dalam sektor agromakanan menjurus kepada pembangunan bukan sahaja negeri, bahkan juga negara.

“Di bawah Program Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat melalui strategi pasaran domestik adalah bertujuan untuk meningkatkan hasil keluaran yang mempunyai permintaan tinggi dan produk berorientasikan eksport.

“Sehubungan itu, fokus untuk mempergiat aktiviti nilai tambah yang tinggi dan pelaburan terhadap kawasan bersasar berupaya menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor agromakanan.

“Justeru, kerjasama dengan pihak swasta (seperti pasar raya dan pusat beli-belah) mampu meningkatkan pembangunan dan pengkomersialan produk bernilai tinggi serta memperkukuh pasaran tempatan dan merapatkan jurang defisit perdagangan,” ujarnya semasa merasmikan Program Agrofiesta Aidilfitri 2024 dekat sini sebentar tadi.

dsc 5572
GIMIK perasmian Program Agrofiesta Aidilfitri 2024.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, Pengarah Kanan Industri Makanan dan Asas Tani, Wan Nora Wan Ahmad dan Pengarah FAMA Negeri Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda.

Mengulas lanjut, Fahmi turut memaklumkan FAMA telah menyasarkan hasil jualan sebanyak RM1 juta bagi keseluruhan nilai jualan tunai dan juga secara atas talian sepanjang program tersebut berlangsung.

“Dalam memacu digitalisasi dan mentransformasikan maklumat serta produk kepada maklumat digital, ia dapat memperkukuh tadbir urus sektor agromakanan agar beroperasi dengan cekap, efektif dalam persekitaran yang selamat, terjamin dan kukuh.

dsc 5614
FAHMI Zainol sempat melawat gerai-gerai yang tersedia.

“(Dan) dengan berkonsepkan jualan MADANI, penawaran harga lebih berpatutan serta mengamalkan konsep secara jualan terus dari bengkel, kilang atau pusat pengeluaran produk usahawan tempatan kepada para pengguna.

“Selain itu, ditambah dengan pendedahan dan pengukuhan elemen pasaran secara digital (atas talian) usahawan dapat mempraktikkan sewaktu proses jual beli dan menawarkan baucar penjimatan yang disediakan oleh pihak FAMA,” tambahnya lagi.

dsc 5563

dsc 5567
SUASANA sekitar Agrofiesta Aidilfitri yang menjangkakan 100,000 pengunjung sehingga April.

Dalam sesi yang sama, seramai 21 usahawan menerima bantuan Projek Insentif dan Geran melibatkan Geran Agrobazaar K-Shoppe (RM60,000), Geran Usahawan Perintis (RM60,000) serta Bantuan Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk (RM80,750) berjumlah RM200,750 secara keseluruhan.

Difahamkan, program Agrofiesta Aidilfitri telah pun berlangsung pada 15 Mac 2024 lalu sehingga 9 April 2024 di pusat membeli belah 1st Avenue manakala di pusat beli-belah Sunway Carnival, Seberang Jaya (14 Mac – 9 April 2024) bermula jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam, sebarang tarikh lanjutan akan dimaklumkan semula.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN