Tuhan sudah tetapkan saya penderma buah pinggang kepada adik – Zeyati

2bc50659 6313 4ae6 b553 d4828bca3add

DEMI menyelamatkan nyawa, tiada apa lagi yang lebih bernilai, hatta mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan orang yang disayangi.

 

 

 

Itulah pengorbanan dilakukan pasangan adik-beradik, ZEYATI YON, 54, yang menderma buah pinggang kepada adiknya, SITI ZALEHA YON, 36, pada tahun 2021.

 

 

 

Sempena Ramadan kali ini, penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD mendekati mereka untuk mendapatkan cerita terperinci.

 

 

 

Menurut Siti Zaleha, buah pinggang beliau disahkan rosak pada tahun 2018 oleh doktor setelah mengalami sesak nafas.

 

 

 

“Selepas lakukan pemeriksaan, doktor sahkan kedua-dua buah pinggang saya rosak dan perlu mencari penderma atau penyumbang organ mengikut giliran.

 

 

 

“Doktor memang ada cakap, kalau penderma adalah dari kalangan ahli keluarga maka peratusan kejayaan itu lebih tinggi, tidak semestinya mempunyai jenis darah yang sama.

 

6e9aef60 93ef 4fd6 92eb 364bfc43fc01

 

“Selepas kakak saya (Zeyati) bersetuju, kami terus beritahu kepada doktor dan pembedahan selamat dijalankan di Hospital Selayang, Selangor pada bulan Januari 2021,” ujarnya ketika ditemui di Gurney Bay di sini baru-baru ini.

 

 

 

Selepas empat tahun melakukan pemindahan buah pinggang, kedua-dua beradik tersebut menzahirkan rasa syukur kerana tidak berdepan komplikasi kesihatan rentetan pembedahan tersebut.

 

 

 

Pada peringkat awal pembedahan, pasangan tersebut perlu melakukan pemeriksaan dua minggu sekali, kini cuma perlu lakukan pemeriksaan tiga bulan sekali dan ia akan berterusan sepanjang hayat.

 

 

 

 

 

Difahamkan, sebelum menerima organ buah pinggang daripada Zeyati, pihak hospital sebenarnya turut tampil untuk menderma, namun gagal akibat kerosakan organ tersebut.

 

 

1e34d2da 1d7b 4e16 894a 576720a9301c

Zeyati dalam pada itu memberitahu bahawa beliau tidak berfikir panjang untuk mendermakan buah pinggang apabila melibatkan kesihatan adiknya.

 

 

 

“Saya memang sudah tekad (ingin menderma), selepas itu hospital maklumkan ada organ yang didermakan melalui tabung organ, malangnya organ itu rosak. Mungkin Tuhan sudah tetapkan saya sebagai penderma kepada adik saya.

 

 

 

“Sebelum derma memang ada dengar cakap-cakap orang tentang komplikasi akibat menderma, kononnya lepas ini senang jatuh sakitlah dan macam-macam lagi.

 

 

 

“Anak-anak pun zahirkan kebimbangan mereka, takut-takut kalau pembedahan itu mendatangkan risiko kepada saya.

 

 

 

“Saya lebih kepada dengar nasihat doktor dan alhamdulillah segalanya berjalan lancar, daripada pembedahan sehinggalah keadaan kesihatan kami sekarang agak baik, cuma kalau kerja terlalu berat doktor tidak sarankan saya buat,” maklum Zeyati yang bertugas di salah sebuah hotel dekat Batu Ferringhi.

 

 

 

Apa yang lebih penting katanya doktor menasihati mereka agar lebih menjaga kesihatan terutamanya melibatkan penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

 

 

 

“Ini kerana penyakit ini dikatakan mampu menjadi ancaman dan merosakkan buah pinggang tersebut.

 

 

 

“Apa yang ajaibnya, selepas derma buah pinggang kepada adik saya, penyakit asma yang saya hidapi turut hilang, sekiranya dahulu kerap diserang sekarang sudah tiada.

 

 

 

“Lepas pembedahan biasalah sementara nak tunggu luka sembuh, tidak boleh bangun selama tiga hari, tetapi selepas itu semua kembali seperti biasa,” ulas ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

 

 

 

 

 

Menutup bicara, Siti Zaleha dan Zeyati menasihatkan orang ramai agar beranikan diri sekiranya terdapat insan yang memerlukan pemindahan organ.

 

 

 

“Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan pemindahan dan elakkan daripada mendengar pandangan bukan daripada pakar perubatan untuk mengelakkan kekeliruan.

 

 

 

“Mengenai kos pembedahan pula, penerima perlu membayar RM200 manakala penyumbang adalah percuma dan akan menikmati banyak kelebihan di fasiliti kesihatan awam,” ujar mereka.