Sasar tanam satu juta pokok dalam masa sehari sempena Hari Bumi April ini

img 20240122 wa0057

GEORGE TOWN – Sebanyak satu juta batang pokok disasarkan untuk ditanam secara serentak di seluruh negeri Pulau Pinang dalam tempoh masa sehari sempena sambutan Hari Bumi pada 22 April ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran program tersebut adalah bertujuan memelihara dan memuliharakan biodiversiti, di samping memitigasikan impak daripada perubahan iklim selari dengan usaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Saya yakin, dengan penglibatan komuniti, sektor kerajaan, badan korporat dan sukarelawan, program ini dapat mewujudkan sinergi penjagaan alam sekitar yang berkekalan dalam kalangan masyarakat.

“Tidak dinafikan bahawa usaha ini juga adalah selaras dengan pematuhan kepada kehendak Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 11) demi masa depan negara yang lebih lestari,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena Hari Bumi dekat Anjung Seri Mutiara di sini sebentar tadi.

Majlis pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Hadir sama, Timbalan Speaker, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar serta barisan ahli Exco Kerajaan Negeri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pengerusi Media Prima Group, Dato’ Seri Syed Husain Syed Junid dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud juga turut hadir.

img 20240122 wa0056

img 20240122 wa0048

img 20240122 wa0052

img 20240122 wa0050

img 20240122 wa0058

Kon Yeow memberitahu bahawa beliau optimis bahawa program penanaman sejuta pokok itu bakal menempah kejayaan sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama yang berjaya menanam satu juta pokok dalam masa satu hari.

“Harus saya akui, pogram menanam satu juta pokok daripada pelbagai spesies dalam masa satu hari ini adalah langkah berani kerana kunci kejayaan kepada program ini memerlukan penglibatan daripada semua pihak untuk mencapai hasil yang menakjubkan.

“Sebagai pemimpin, saya sedar bahawa dalam usaha mewarisi sebuah negara kepada generasi muda tidak hanya terhad kepada usaha-usaha menstabilkan ekonomi, sosial dan politik semata-mata, sebaliknya yang paling penting adalah mewariskan kepada mereka dunia yang berdaya huni dengan persekitaran yang sihat, seimbang serta mampan,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa sehingga kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya mencapai sasaran penanaman 500,000 batang pokok sebagai usaha untuk mengurangkan impak peningkatan suhu menjelang tahun 2030.

“Selain itu, sebuah kajian sedang dijalankan untuk menentukan sasaran baharu, dan susah tentu program penanaman satu juta pokok ini secara tidak langsung menjadi salah satu usaha pemulihan ekosistem di negeri ini,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Ahmad Fuzi kerana telah mencetuskan idea tersebut.

Sementara itu, Rozali berkata bahawa sejuta pokok yang ditanam melalui program tersebut berupaya menyerap 40,000 tan karbon dioksida setahun berdasarkan kiraan Malaysia Green Technology Corporation (MGTC).

“Justeru, manfaat yang akan dicapai dari program ini adalah dapat melindungi dan mengembalikan ekosistem semula jadi, membawa kehijauan kepada komuniti, kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi.

“Malah, hasil daripada pokok yang ditaman akan disumbangkan kepada komuniti serta badan-badan kebajikan yang dapat meningkatkan tahap sara diri serta keterjaminan makanan,” ulasnya lanjut.

Pada majlis itu, Ahmad Fuzi bersama-sama Kon Yeow dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menanam pokok di sekitar Anjung Seri Mutiara sebagai simbolik kepada pelancaran program tersebut.

Difahamkan, daripada lebih sejuta pokok yang akan ditanam, sebanyak 250,000 pokok akan dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, MBPP (150,000), MBSP (150,000), Tenaga Nasional Berhad (50,000), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (35,000), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (19,000), lima Pejabat Daerah yang mana masing-masing akan menyumbangkan 100,000 batang pokok.

Selain itu, pokok juga disediakan sendiri oleh para peserta yang terdiri daripada orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, syarikat korporat dan lain-lain.

Antara pokok yang akan ditanam termasuklah spesies buah-buahan tempatan, herba, bunga, tumbuhan landskap serta pokok paya bakau yang mana pokok-pokok berkaitan akan ditanam di kawasan mengikut ketetapan para peserta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI