Seberang Perai bebas lokaliti denggi, hanya dua kes direkod sehingga 31 Julai

Admin

SEBERANG JAYA – Langkah proaktif diambil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjaya mengurangkan jumlah kes denggi di kawasan pentadbirannya iaitu daripada 238 kes pada Disember tahun lalu kepada hanya dua kes pada 31 Julai 2019.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, jumlah lokaliti denggi juga turut mencatatkan penurunan daripada 35 kawasan kepada sifar dalam tempoh masa sama.

“Sebagai langkah proaktif, MPSP telah menubuhkan sebuah Pasukan Pengendalian Krisis Denggi pada 7 Disember tahun lalu bagi menjalankan pembersihan serta operasi cari dan musnah kawasan berpotensi wabak sekitar Seberang Perai.

“Penubuhan pasukan yang dianggotai oleh 150 orang ini adalah salah satu proses tindak balas terhadap kejadian kecemasan yang digariskan dalam Pelan Pengurusan Bencana Seberang Perai.

“Selain itu, hasil usahasama antara MPSP dan Pejabat Kesihatan Negeri menjadikan ketiga-tiga daerah di Seberang Perai kini merupakan kawasan bebas wabak denggi,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MPSP.

Walau bagaimanapun, Rozali memberitahu bahawa sebanyak lapan kes kematian akibat denggi di negeri ini dengan Seberang Perai mencatatkan sebanyak empat kes dari Januari hingga Julai tahun ini.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan agar memeriksa premis masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tiada kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya lagi.

Pada sidang media yang sama, Rozali turut menyeru penganjur-penganjur program supaya mencontohi penganjuran perayaan ST Anne’s Church 2019 yang berjaya mengurangkan penjanaan sampah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Jumlah beratan sampah yang dicatatkan pada perayaan ST Anne’s Church menurun sejak 2017 iaitu daripada 12 tan kepada lapan tan tahun ini.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama baik ditunjukkan pihak penganjur dengan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama MPSP sebelum sambutan perayaan bermula,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS