ADUN mahu isu pencerobohan pukat tunda dan pukat apollo diselesaikan segera

Admin

SUNGAI ACHEH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim mahu pihak berkuasa selesaikan segera isu kemasukan bot pukat tunda dan pukat apollo ke perairan Pulau Pinang.

 

Jelasnya kemasukan dua jenis bot berkenaan yang dipercayai dari Tanjung Piandang, Perak telah menjejaskan hasil tangkapan nelayan-nelayan persisir pantai di negeri ini.

 

“Saya tidak tahu di mana silapnya, perkara ini setahu saya lebih 20 tahun tidak boleh diselesaikan lagi, saya minta penguat kuasa kena pandang serius isu ini kerana rezeki nelayan amat bergantung kepada laut.

 

“Kadang-kadang nelayan sendiri boleh tahu bila bot-bot ini akan masuk ke sini.. mungkin ada pihak (berkuasa) yang tidak selesa bila saya bangkitkan isu ini tapi saya bawa suara nelayan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Bantuan Baucar Nelayan Pesisir Pantai Negeri Pulau Pinang 2019 dekat Dewan Perda, Sungai Acheh pagi tadi.

Hadir sama, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya.

 

Seramai 462 orang nelayan hari ini menerima baucar bernilai RM400 bagi membeli peralatan menangkap ikan.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara sama, Zulkifli memaklumkan bahawa beliau juga pernah menyuarakan hal sama ke peringkat kementerian dan berulang kali dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

“Sampai Tuan Speaker kata sudah-sudahlah isu ikan, tetapi ini melibatkan nelayan dan saya perlu bela, malah saya sendiri pernah ‘menyamar’ sebagai orang biasa telefon penguat kuasa,” ujarnya.

 

Pada program sama, Zulkifli turut memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang giat menyelesaikan isu air tapak pelupusan sampah Pulau Burong yang dikatakan memasuki perairan negeri.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD