Seberang Perai Fiesta 2019 perkenal elemen baharu transaksi tanpa tunai dan e-Sport

 

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Majimor Sharif hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Seberang Perai Fiesta 2019 yang berlangsung dekat Tapak Ekspo Seberang Jaya, malam tadi.

Program yang berlangsung selama lima hari mulai 25 hingga 29 September 2019 merupakan acara tahunan kali keempat berturut-turut dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan juga swasta.

Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyempurnakan lafaz dan gimik perasmian program Seberang Perai Fiesta 2019 dekat Tapak Ekspo Seberang Jaya, semalam.

 

 

 

 

 

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa berucap memberitahu bahawa penganjuran Seberang Perai Fiesta adalah sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan peranan golongan petani, penternak, nelayan
dan usahawan industri asas tani dalam pembangunan ekonomi negeri ini.

“Di samping itu, pengunjung juga berpeluang menikmati makanan melalui 80 gerai makanan dan trak kendara saji selain merasai pengalaman dalam permainan e-Sports dan sukan ekstreme seperti rock climbing dan banyak lagi,” jelasnya.

Persembahan tarian tradisional oleh pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Minden Hieght.

 

 

 

 

 

 

Turut hadir menyerikan majlis adalah Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),
Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud serta
ketua–ketua jabatan dan pegawai-pegawai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Afif berkata, seiring dengan kemajuan industri digital, Seberang Perai Fiesta pada tahun ini turut menampilkan kelainan dengan menggunakan transaksi tanpa tunai melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go Digital (e-Wallet).

“Galakan transaksi tanpa tunai ini merupakan salah satu usaha untuk mempersiapkan usahawan di bawah bimbingan jabatan dan agensi kerajaan ke arah pemodenan perniagaan
sejajar dengan hala tuju kerajaan yang menggalakan konsep platform tanpa tunai seiring dengan perubahan pesat sistem pembayaran elektronik dan peranti pemprosesan pembayaran pada masa kini.

Antara tarikan yang terdapat di Seberang Perai Fiesta 2019.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Inisiatif ini akan memudahkan lebih ramai pengguna e-Wallet menikmati cara pembayaran yang lebih selamat, mudah dan
pantas dengan mengimbas kod QR peniaga bagi urusan pembayaran,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin semasa berucap menyatakan bahawa penganjuran program berkenaan juga dapat menjadi landasan terbaik untuk pengusaha memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada masyarakat.

“Di sinilah, peserta dan pengunjung dapat mencari peluang untuk mengadakan kerjasama dalam aspek pengeluaran, penjualan serta pemasaran.

“Justeru, diharapkan pada tahun-tahun akan datang, Seberang Perai Fiesta akan terus mendapat sambutan hangat daripada pengunjung serta sokongan daripada pengiat-pengiat sektor berkaitan,” ujarnya lagi.

Difahamkan, Seberang Perai Fiesta merupakan program yang dijenamakan semula daripada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan atau Agrofest Peringkat Negeri dan dilihat mampu menyamai kemeriahan Pesta Pulau Pinang iaitu salah satu program ikonik negeri.

Teks : SUNARTI YUSOFF
Gambar :ADUN