Seberang Perai Fiesta bukti Kerajaan Negeri iktiraf petani, penternak, nelayan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa pada tahun 2015, sektor pertanian negeri Pulau Pinang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM48 juta kepada RM477 juta, berbanding RM429 juta (2014).

Bagi sektor perikanan, beliau memberitahu, pada tahun 2015, pendaratan sumber laut mencatatkan nilai sebanyak RM484 juta dengan 49.8 tan metrik.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bagi memperkasakan sektor pertanian, dan pada masa sama membuktikan bahawa ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ sekaligus menjadi enjin pemangkin kemajuan ekonomi negeri Pulau Pinang selain sektor perindustrian.

“Bagi perikanan, jelas menunjukkan peningkatan nilai sebanyak RM19 juta, berbanding tahun 2014, RM463 juta dengan 45.9 tan metrik.

“Malah, sejak empat tahun lepas, Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan pukat pantai percuma dua kali setahun kepada nelayan-nelayan pesisiran pantai dengan nilai keseluruhan bantuan bernilai RM2.88 juta,” ucapnya pada Majlis Perasmian Seberang Perai Fiesta dekat Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Fiesta tersebut dirasmikan Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Kerja Raya, Pegangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan ketua-ketua jabatan.

Tambah Guan Eng, sektor penternakan juga tidak ketinggalan apabila mencatatkan nilai hasil ternakan sebanyak RM827.96 juta untuk tahun 2015.

Tambahnya, melalui penganjuran fiesta berkaitan, jelas menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Negeri di atas sumbangan petani, penternak dan nelayan dalam pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Pada penganjuran kali ini, lebih 100 peniaga dan food truck dari seluruh negara berkumpul di Tapak Ekspo Seberang Jaya di bawah Penang Food Mega Festival bagi memberikan pengunjung suatu pengalaman menikmati makanan serta buahbuahan tempatan selain gerai-gerai jualan berasaskan pelbagai produk lain.

Pada  aspek kesenian, Nusantara Art Wave turut menampilkan penggiat seni terkenal tanah air, malah antaranya pernah dijemput membuat seni mural di luar negara.

Fiesta anjuran kali kedua itu berlangsung selama empat hari dari 24 Ogos sehingga 27 Ogos lalu.