Penjawat awam derma darah ‘wira rakyat’ – Dr. Afif

GEORGE TOWN – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menganggap penjawat awam yang komited menderma darah adalah ‘wira rakyat’ yang sebenar.

Menurutnya, amalan derma darah adalah sangat penting demi menampung keperluan tabung darah negeri.

“Kita menyasarkan penjawat awam dan orang ramai yang berkunjung ke Komtar bagi memenuhi keperluan tabung darah yang semakin berkurangan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menambah jumlah penderma darah dalam kalangan penjawat awam,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada penganjuran program di ruang legar tingkat 3, Komtar di sini baru-baru ini.

Pada program kali ini, beliau menyatakan bahawa penganjur menyasarkan sekurang-kurangnya memperoleh 30 beg darah.

“Jumlah sasaran ini adalah dianggarkan dapat menyelamatkan 90 nyawa di masa kelak,” katanya.

Ketika berucap, Afif turut merakamkan penghargaan kepada penganjur bersama, iaitu Biro Kesihatan dan Kebajikan bagi Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Timur Laut, National Kidney Foundation (NKF) dan Bahagian Tranfusi Hospital Besar Pulau Pinang.

Difahamkan, program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu turut merangkumi segmen pemeriksaan kesihatan dan pendaftaran peserta untuk pemeriksaan mamogram, yang akan berlangsung pada bulan Disember nanti.