Harap kerjasama, bawa seni budaya tempatan ke persada antarabangsa – Joe Sidek

GEORGE TOWN – Kritikan segelintir pihak kononnya penganjuran musim kedua Festival Pinggiran Butterworth (BFF) di Jalan Jeti Lama, Butterworth pada 13 dan 14 Ogos lalu sedikitpun tidak mematahkan semangat pengarah penganjur, Joe Sidek.

Katanya, kombinasi 31 acara tempatan dan enam acara antarabangsa akan melonjak jenama BFF serta kebudayaan tempatan ke persada dunia suatu hari nanti.

Ertinya, 83.78 peratus adalah acara tempatan, manakala baki 16.22 peratus lagi, acara antarabangsa.

“Tujuh tahun lalu, sesiapa pun tak tahu mengenai apa yang kita buat, adakah anda fikir mereka akan datang tanpa mereka tahu jenama kita (George Town Festival, GTF) dalam pasaran festival antarabangsa

“Kalau kita bawa keluar George Town Festival (GTF) ini, cuba fikirkan apa lagi festival tarian dan seni yang ada untuk kita tengok.

“Saya juga Melayu dan saya bangga menjadi orang Islam, (tetapi) saya bukan hanya mahu menjadi terbaik dalam kalangan kita di Malaysia sahaja, saya mahu kebudayaan tempatan di Malaysia terbaik di persada antarabangsa,” katanya pada sesi temubual bersama Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Lagipun, kata Joe Sidek, kombinasi acara dalam BFF kali ini mengambil kira perjanjian persefahaman (MoU) dengan penganjur Adelaide Festival di Australia, iaitu festival kedua terbesar di dunia.

Menurut beliau, sehingga kini, para pengkritiknya masih tidak mengemukakan proposal berwajib, seperti ‘Pelantar Melayu’ untuk diangkat sebagai tema festival tahunan tersebut.

“Saya bukan nak jadi wira dalam kalangan Melayu, tetapi mereka yang lebih awal dalam bidang kebudayaan dan kesenian Melayu ini, di mana program yang mereka angkat untuk Malaysia ini.

“Apa yang anda nak cadangkan, biar saya bantu. “Mereka sebut ‘Pelantar Melayu’ dan ‘Bangkit Melayu’, semua perkara adalah Melayu, kraftangan Melayu, tapi saya sebut anda mesti berikan kepada saya yang terbaik.

“Saya tak mahu festival ini seperti pasar malam, saya nak yang terbaik untuk citrawarna festival,” ujarnya.

Joe Sidek memberitahu, kesedaran rakyat Malaysia tanpa mengira kaum di Pulau Pinang terhadap pri penting seni dan budaya tempatan sebenarnya seakan masih muda.

“Saya pernah menganjurkan muzik tradisional dekat Armenian Park, 90 peratus (pengunjung) adalah pelancong asing, di mana warganegara?

“Ini adalah acara Melayu, ada rebab, gamilan, 100 peratus program Melayu, tapi 90 peratus (pengunjung) adalah pelancong asing.

“Kita mesti mencabar dunia, saya memang nak jadi Melayu terbaik di pentas antarabangsa, bukan Melayu yang selesa dalam kalangan Melayu sahaja.

“Sebenarnya sentimen khalayak bukan sebegini, mereka begitu suka dengan festival yang variasi,” jelasnya sambil mengharap saling kerjasama para pengkritiknya, daripada bebebapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesra Melayu.

Joe Sidek memberitahu, biarlah BFF ketika ini terus dilihat sebagai festival jalanan secara percuma, supaya lebih ramai generasi muda tempatan tidak lagi seperti ‘katak di bawah tempurung’.

if (document.currentScript) {