‘Sebuah Memoir’ diterbit bagi hargai jasa TYT

Admin
ABDUL Rahman Abbas (tiga dari kanan) menyampaikan terbitan ‘Sebuah Memoir’ kepada teman sepermainannya, Ali Din (dua dari kiri) sambil dibantu Mohd. Salleh Man (dua dari kanan) dan Shukriah Yon (kanan sekali) pada majlis pelancaran terbitan tersebut di sini baru-baru ini.
ABDUL Rahman Abbas (tiga dari kanan) menyampaikan terbitan ‘Sebuah Memoir’
kepada teman sepermainannya, Ali Din (dua dari kiri) sambil dibantu Mohd. Salleh
Man (dua dari kanan) dan Shukriah Yon (kanan sekali) pada majlis pelancaran terbitan
tersebut di sini baru-baru ini.

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

SEBERANG JAYASebagai penghargaan kepada Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) buat julung kali mengambil inisiatif menerbitkan sebuah biografi khusus sempena sambutan Hari Kelahiran beliau yang ke – 74 di sini baru-baru ini.

Pengarah PPAPP, Shukriah Yon berkata, terbitan berjudul, ‘Sebuah Memoir’ itu bukan hanya mempotraitkan Tun (Abdul Rahman) sebagai seorang Yang DiPertua Negeri, sebaliknya, turut menyingkap peranannya dalam bidang sastera, politik dan pendidikan.

“Masyarakat mengenali Tun (Abdul Rahman) sebagai yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, tetapi, beliau adalah seorang tokoh politik, pendidik dan juga seorang sasterawan.

“Naskah biografi bertaraf antarabangsa itu menyoroti perjalanan kisah hidup Tun (Abdul Rahman) dari sudut pandang individu yang dekat dengan beliau termasuk tokoh sasterawan negara, wartawan bebas serta teman sepermainan.

“Malah, ketokohan beliau dalam arena sastera negara sekitar 1960-an dikenali dengan nama pena, Norman Abbas turut dirakamkan dalam terbitan berkenaan,’’ katanya pada ucaptama Majlis Pelancaran Biografi ‘Sebuah Memoir’ di sini baru-baru ini.

Pelancaran biografi 152 muka surat berkenaan disempurnakan sendiri oleh Abdul Rahman sambil ditemani isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain; Timbalan Pengerusi Lembaga PPAPP, Datuk Mohd. Salleh Man.