Subsidi RM10 juta untuk tambang bas percuma

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNSebagai ganti kepada projek monorail yang belum lagi ‘dilaksanakan’ kerajaan pusat di sini, Kerajaan Negeri bersedia memperuntukkan subsidi RM10 juta setahun kepada Syarikat Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) untuk memberikan tambang bas percuma pada waktu puncak kepada seluruh rakyat di seluruh negeri ini.

Inisiatif yang bertujuan bagi menangani kesesakan trafik di sini lazimnya telah dipersetujui secara lisan oleh pihak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kumpulan Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

Persetujuan tersebut adalah meliputi perkhidmatan tambang percuma Rapid Penang pada waktu puncak iaitu tujuh jam setiap hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) dari 6 hingga 9 pagi dan dari 4 petang hingga 8 malam.

Bagaimanapun, sejak persetujuan secara lisan pada 30 November 2011 dan susulan perutusan tiga pucuk surat masingmasing bertarikh 21 Disember 2011 kepada Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar; Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (13 Jun 2012) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (21 Jun 2012), Kerajaan Negeri kini masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan hasrat tersebut adalah amat tinggi apabila tiga surat telah dihantar kepada SPAD, Prasarana dan Jabatan Perdana Menteri bagi menjayakan hasrat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di sini.

“Kerajaan Negeri terpaksa ‘think out the box ’ demi mencari penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini. Di mana kita (Kerajaan Negeri) hanya mempunyai bas sebagai jalan penyelesaian. Walaupun dahulunya pernah dijanjikan monorail, hingga kini tiada sebarang hitam putih diberikan,’’ katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, pada 30 November tahun lalu, satu rombongan Kerajaan Negeri diketuai oleh beliau sendiri dan dianggotai Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Tony Pua telah bertemu dengan rombongan Prasarana diketuai Pengarah Kumpulan Prasarana, Zohari Sulaiman di Hotel Gardens, Kuala Lumpur.

“Hasil daripada rundingan tersebut, Zohari telah menerima cadangan kami (Kerajaan Negeri) dan membuat unjuran bahawa subsidi RM10 juta setahun adalah mencukupi untuk meliputi perkhidmatan tujuh jam setiap hari bekerja.

“Jumlah susidi RM10 juta juga merangkumi pembayaran sedia ada untuk perkhidmatan tiga buah bas CAT dalam warisan George Town dan bas BEST (16) yang menyeberang antara Seberang Jaya dan Bayan Lepas pada waktu puncak yang beroperasi kini.

“Kita percaya, sekiranya inisiatif itu dilaksanakan, ia mampu mengurangkan kadar kesesakan lalulintas dan sekaligus menggalakkan penggunaan perkhidmatan bas secara percuma dalam kalangan rakyat negeri ini,’’ ujar beliau.

Jesteru, demi kepentingan umum, Guan Eng menggesa agar kerajaan persekutuan dapat menyelesai dan memberikan pertimbangan sewajarnya pada kadar secepat mungkin berhubung permintaan dikemukakan.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak RM50,000 sebulan diperuntukan bagi perkhidmatan tiga buah bas CAT di sekitar bandar George Town setiap hari. Manakala, RM160,000 untuk 16 buah bas BEST yang beroperasi lima hari seminggu.

Tambah Kon Yeow, Rapid Penang dijangka bakal menerima tambahan 80 buah bas pada penghujung Disember 2012 nanti.

“Dengan penambahan tersebut, Kerajaan Negeri percaya ianya dapat menampung dan meluaskan perkhidmatan bas percuma di seluruh kawasan Pulau Pinang pada waktu puncak,’’ ujar Kon Yeow.

KETUA Menteri, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan surat yang telah dihantar kepada pihak kerajaan persekutuan berhubung cadangan perkhidmatan tambang bas percuma dengan subsidi RM10 juta setahun daripada Kerajaan Negeri
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) bersama barisan
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan surat yang telah
dihantar kepada pihak kerajaan persekutuan berhubung cadangan
perkhidmatan tambang bas percuma dengan subsidi RM10 juta
setahun daripada Kerajaan Negeri