Sebuah negara dan negeri kukuh bermula daripada kemantapan institusi keluarga – Kon Yeow

Admin

BATU UBAN – Keluarga adalah asas kepada kesejahteraan masyarakat, malah penyumbang signifikan kepada fizikal, mental, emosi dan spiritual rakyat.

Menerusi visi Penang2030 yang digagaskan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada
29 Ogos 2018, penekanan dan keutamaan terhadap institusi keluarga telah diberikan perhatian teliti oleh pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kon Yeow berkata, untuk mewujudkan sebuah negara dan negeri yang kukuh, sebenarnya ia bermula daripada kemantapan sesebuah institusi keluarga.

“Mungkin ada di antara kita menyoal kenapa keluarga perlu diraikan? Tidakkah kita semua sedar bahawa keluarga adalah institusi sosial pertama yang wujud sejak adanya tamadun manusia dahulu.

“Sebagai individu, setiap orang memerlukan serta mendapat sokongan daripada keluarga masing-masing, dan faktor inilah yang menjadikan kita insan yang lebih kuat jati diri supaya seterusnya kita dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua warga negeri untuk mewujudkan satu suasana kekeluargaan yang lebih mampan bagi membolehkan anak-anak kita mempunyai satu peluang untuk menonjol dalam kehidupan mereka melalui sokongan padu daripada keluarga masing-masing.

“Ayuh kita realisasikannya, apabila keluarga dan masyarakat kukuh, negeri dan negara akan jadi lebih kukuh serta membangun,” serunya ketika menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Hari Keluarga Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi ini.

Bertemakan ‘Raikan Keluarga’, pelbagai acara menarik disediakan buat pengunjung pelbagai peringkat umur antaranya pertandingan bercerita, permainan kanak-kanak, pameran untuk para ibu bapa dan pelbagai lagi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Lim Siew Khim (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Pinang); Goh Choon Aik (ADUN Bukit Tambun); Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota); Ong Bee Leng (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, PWDC) dan Ir. Rosnani Mahmood (Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP).

Dalam pada itu, Chong Eng merangkap Pengerusi PWDC yang turut menzahirkan hasrat beliau untuk mewujudkan Family Square.

Menurutnya, Family Square adalah suatu ruang yang diwujudkan untuk seluruh ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur untuk menjalankan aktiviti bersama-sama.

“Ruang ini mestilah hijau, mesra alam sekitar dan menerapkan ciri-ciri pintar dengan teknologi terkini.

“Sebagai permulaan, saya cadangkan Family Square ini diwujudkan di setiap peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN),” ujar beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI