Sedaya upaya tunai janji, bersikap adil terhadap kepelbagaian masyarakat majmuk

Admin

GEORGE TOWN – Dalam tempoh hampir 15 tahun sebagai kerajaan memerintah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa cuba sedaya upaya untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan.


Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kim Yeow mengakui bahawa beliau berdepan cabaran tersendiri untuk ditangani.

 

“Selaku Kerajaan Negeri, kita perlu berlaku adil khususnya Pulau Pinang yang mempunyai masyarakat majmuk pelbagai agama, budaya dan bangsa.

 

“Sebaik menjadi kerajaan (pada tahun 2008), kita cuba sedaya upaya tunaikan apa yang telah kita janjikan.

 

“Keseimbangan kaum dan agama tidak menjadi kebimbangan serta halangan kepada kita (Kerajaan Negeri), kita lakukan seadil-adilnya kepada setiap warga kita.

 

“Saya berharap ini akan menjadi kesan positif terutamanya melibatkan komuniti India Muslim di Pulau Pinang yang merupakan antara masyarakat besar di negeri ini,” ujarnya pada Majlis Kenduri Sempena Malam 22 Ramadan dan Majlis Meraikan Penubuhan Persatuan Anjuman Himayathul Islam dekat bangunan persatuan tersebut di Lebuh Chulia sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Presiden Anjuman Himayathul Islam, Dato’ Abdul Kader K.N Hajamydin; Timbalan Presiden Anjuman Himayathul Islam, Dastagir V.K Mohd. Yassin dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang; Datuk Haja Najmudeen Kader.

 

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Padang Kota dalam pada itu berharap agar komuniti India Muslim akan mencapai kejayaan dalam bidang diceburi termasuk perniagaan yang mana ia merupakan penyumbang kemampanan ekonomi Pulau Pinang.

 

Difahamkan Persatuan Anjuman Himayathul Islam sudah bertapak di Pulau Pinang sejak tahun 1930, dan tahun ini merupakan ulang tahun ke-92 pertubuhan tersebut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING