Sedia perkukuh kerjasama demi keselamatan rakyat

Admin
whatsapp image 2026 06 30 at 15.15.03

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Komitmen itu dizahirkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Dennis Lim Kwang Keng ketika mengadakan kunjungan hormat perkenalan ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya di Komtar di sini sebentar tadi.

Mengiringi beliau, Ketua Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zakaria Abd. Rahim; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohamad Rusli Mat; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, SAC Helmi Aris serta Ketua Jabatan Pengurusan, ACP Baeyah Abdul Wahab.

Dalam pertemuan berkaitan, Kwang Keng yang mula melapor diri pada 20 Jun lalu menyatakan bahawa beliau kini sedang menyesuaikan diri dengan suasana di Pulau Pinang, selain menyifatkan negeri ini sebagai sebuah negeri pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi, sosial dan kemasyarakatan yang berlangsung secara aktif.

Menurut beliau, antara fokus utama PDRM Pulau Pinang adalah memperkukuh keselamatan awam di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘black spot‘ menerusi pelaksanaan pelbagai program bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi merealisasikan agenda Bandar Selamat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keselamatan awam, Kon Yeow menyatakan bahawa berdasarkan maklum balas diterima, tahap keselamatan awam di Pulau Pinang berada pada tahap baik dengan masyarakat mempunyai ‘sense of safety‘ atau rasa selamat yang tinggi.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memaklumkan bahawa sebanyak 1,500 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan Seberang Perai bermula tahun ini bagi memperkukuh pemantauan keselamatan serta membantu usaha pencegahan jenayah.

Kon Yeow dalam pada itu juga menyambut baik komitmen yang dizahirkan oleh PDRM Pulau Pinang, dan berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan pasukan keselamatan akan terus diperkasakan bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang aman, selamat serta kondusif untuk didiami.

Selain menyentuh aspek keselamatan awam, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu kesesakan lalu lintas yang akan terus diberi perhatian melalui kerjasama dengan agensi berkaitan, di samping membincangkan pengurusan komuniti Rohingya di negeri ini bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING