Seh Bah, KRT Taman Keenways kongsi minat

28 tahun, beliau menggabungkan diri dengan aktiviti komuniti di tempat beliau bermastautin. Itu, bukan masa yang singkat. Ini, sungguhpun beliau sudah bersara dari dunia perniagaan, aktiviti sesukarelawannya dengan Kelab rukun Tetangga (KRT) Taman Keenways dekat Bukit Mertajam masih diteruskan seperti biasa.

Lelaki berusia 73 tahun itu berkata, isterinya senantiasa memberi sokongan. Tiga anaknya, iaitu bekerjaya doktor, peniaga butik fesyen dan suri rumah masing-masing bangga dengan apa yang dilakukannya.

Tan Seh Bah berkata, beliau berasa puas bekerja dengan pasukannya melalui wadah KRT ini.

Baginya, KRT Taman Keenways yang diiktiraf sebagai juara Anugerah Komuniti Mampan 2013 oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini adalah kejayaaan berpasukan KRT.

“Apa pun, program kita di sini bukan berorientasikan keuntungan.

“Apa pun program yang nak dijalankan di Taman ini, kita akan keluarkan surat rasmi.

“Ini kerja sukarela. Selagi ada minat, selagi itu akan ada kepuasan,” ujar beliau semasa diwawancara oleh wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAiNULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

Minat Sumbu Kerjasama Seh Bah berkata, hampir semua aktiviti yang dianjurkan oleh KRT Taman Keenways dibina berdasarkan minat bersama komuniti di sini.

“KRT panggil mereka lihat apa aktiviti yang mereka suka untuk kita anjur. Kalau mereka suka masak, kita adakan program masak-memasak.

“Kalau mereka suka program bercucuk tanam pokok bunga, kita wujudkan program sebegitu seperti Taman Kejiranan yang telahpun kita wujudkan bersebelahan dengan Dewan KRT ini,” ujar beliau.

Tambah Seh Bah, sesiapa berminat untuk mempelajari seni gaya hidup sihat Tai Chi, mereka boleh datang ke Taman Keenways pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis.

“Kita bersenam Tai Chi bermula pada jam 8.00 malam hingga 10.30 malam, kerana penduduk yang bekerja pada waktu pejabat pun berminat untuk sertai pada sebelah malam,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, KRT juga menganjurkan program nyanyian karaoke pada waktu tertentu.

“Program karaoke pun ada kerana kita mahu menjadikan KRT ini sebagai tempat untuk merehatkan komuniti,” ujar beliau lagi sambil merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat kawasan kerana menghadiahkan set karaoke kepada KRT, sebelum ini.

Taman Kejiranan

Taman Kejiranan menjadi salah satu identiti KRT di sini. Yang di-Pertua MPSP, Puan Maimunah Mohd. Sharif sendiri pernah berkunjung ke sini untuk melihat hasil sayur-sayuran dan buah-buahan.

Macam-macam ada. Antaranya, ubi keledek, terung, sawi, kubis, kangkung dan buah markisa.

Seh Bah berkata, projek kehijauan itu dimulakan sejak dua setengah tahun lepas juga berdasarkan pada minat komuniti di sini.

Ujarnya, keindahan Taman Kejiranan ini mendorong Maimunah datang melawat dan merasmikan pembukaan taman ini baru-baru ini.

“Dulu, di sini adalah kawasan semak samun. Ada ahli KRT kita minat bercucuk tanam. Kita beri sokongan dari segi benih dan kebendaan untuk memulakan aktviti kehijauan itu.

“Untuk mencerahkan semak-samun di sini, MPSP sendiri turun bergotong-royong dengan penduduk setempat.

“Kita rancang tanam sayur sebab ini antara hobi komuniti di sini,” ujar beliau.

Sisa Sifar

Seh Bah turut mengulas mengenai cabaran Maimunah untuk Taman Keenways mengamalkan kempen ‘Sisa Sifar’.

“Projek sisa sifar ini sebenarnya kita sudah mula agak lama.

“Mula-mula kita kompos kepala ikan dan kulit udang, dikompos menjadi baja.

“Semua sisa ini ditanam dalam lubang. Selepas lebih dua bulan, baru kita boleh pakai tanah itu untuk tujuan pertanian organik,” ujar beliau.

Menurut beliau, dari 269 unit rumah, sebanyak 22 rumah sahaja menyertai program Sisa Sifar.

“Jadi, lebih kurang 10 peratus terlibat dalam projek kitar semula ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, walaupun kempen Sifar Sisa masih belum menerima penyertaan majoriti komuniti di sini, sokongan MPSP serta aktiviti
berterusan KRT selepas ini mungkin akan menelurkan hasil.

Program Amal

Percaya atau tidak, KRT Taman Keenways turut giat dalam program-program amal dengan membantu golongan yang memerlukan.

“Kitar semula ini menjadi sumber duit. Kita tak guna, tetapi, kita simpan sampai hujung tahun.

“Selalunya kita akan buat program amal, hasil duit ini akan kita serah kepada orang yang benar-benar memerlukan. Contoh, orang susah yang mengidap sakit pinggang.

“Tudung tin aluminium pun kita kumpul dan simpan. Apabila sudah cukup, kita akan beri kepada seorang warga Thai untuk dibuat kaki palsu secara percuma kepada orang yang benar-benar memerlukan memerlukan.

Harapan sifar
Bagi Seh Bah sendiri, KRT ini akan lebih progresf sekiranya disertai oleh komuniti yang majmuk.

“Kita tak isi sepenuhnya kesemua 25 jawatankuasa kelab ini kerana kita mahu simpan untuk orang Muslim dan orang India mengisinya.

“Saya harap MPSP sendiri dapat bersama kami, kerap datang mengorek longkang utama kami di sini kerana longkang di sini dipenuhi pasir, bukan lagi air.

“Tiap-tiap minggu, pada hari Sabtu, kita sendiri akan membersih taman ini untuk elak pembiakan jentik-jentik aedes.

“Saya rasa sudah sangat baik keranan kempen Sisa Sifar oleh MPSP semakin meluas. Kita harap, kempen ini berterusan untuk kesihatan anak cucu kita di sini,” ujar Seh Bah.