10 pekerja biasa Mppp terima pingat

Oleh : WATAWAN NATAF ZULKIFLI

BUKIT MERTAJAM – 10 pekerja biasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dipilih menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena Hari Lahir Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas baru-baru ini.

Mereka, antaranya, Baharum Abdul Rahman, Mazli Md. Shariff, K. Anbuallagan, Che Rahmat Che Ruis, Johari Shaari, Mazalan Ariffin, S. Nagasraop, K. Rajoo, Rosli Sudin dan C. Shantara Sagaran.

Mereka, pekerja bahagian pembersihan dari Jabatan Perbandaran, dipilih atas komitmen mereka melakukan kerja-kerja mencabar dari aspek Difficult, Dirty & Dangerous atau lebih dikenali sebagai ‘3D’.

Baharum Abdul Rahman, 59 yang berkhidmat dalam kerja ‘3D’ sejak 35 tahun lepas melahirkan rasa terharu atas penghargaan yang diterima daripada kepemimpinan negeri.

“Saya pernah terjatuh lori semasa melakukan kerja-kerja memungut sampah dahulu, namun, itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk menabur bakti kepada masyarakat,” ujar beliau semasa ditemui di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kerja-kerja menyelenggara longkang sememangnya mencabar terutama pada musim hujan.

Selain itu, katanya lagi, masyarakat sekeliling, segelintirnya tidak selesa jika ditegur mengenai peri penting menjaga kebersihan bandar.

Manakala, Mazli Md. Shariff, 56 yang berkhidmat dengan MPPP sejak 26 tahun dahulu turut mengaku terus bersemangat untuk memberi motivasi kepada pekerja-pekerja baru supaya lebih rajin dan tidak memandang rendah pada pekerjaan sebegini.

“Walau apa pun rintangan dan kesukaran, saya tetap menekankan disiplin yang tinggi dan agama sebagai aspek utama dalam hidup dan kerjaya,” ujar beliau sambil mengaku memulakan tugas harian seawal 6.30 pagi.

Sebelum itu, Xavier Sebastian selaku penyelia kepada penerima- penerima pingat tersebut berkata, kesemua pekerja di bawah seliaannya memang layak menerima pingat tersebut memandangkan proses pemilihan yang dilakukan oleh pihak jabatan adalah sangat teliti.

“Seperti diketahui kerja mereka sangat-sangat mencabar hingga perlu turun ke dalam longkang yang tidak mampu dilakukan oleh semua orang tambahan mereka ini tidak pernah merungut dan tidak pernah mengatakan ‘tidak’ kepada arahan yang diberi,” ulas beliau lagi.