Sekalung penghargaan, Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan Dato’ – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di pejabatnya sebentar tadi.

Mohd. Shuhaily dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, berkuat kuasa 15 Mei ini, setelah berkhidmat di Pulau Pinang selama satu tahun 10 bulan.

Pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu antara lain membincangkan perkembangan semasa inisiatif dan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang dengan pihak-pihak berkepentingan dalam menjamin keselamatan negeri.

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menandatangani buku tetamu ketika hadir ke Pejabat Ketua Menteri pada 10 Mei 2023.

Pada pertemuan itu juga, Mohd. Shuhaily menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Kon Yeow yang telah banyak membantu dan memberi sokongan dalam melancarkan segala urusan PDRM Pulau Pinang, khasnya.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, barisan Exco Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakyat Pulau Pinang yang selama ini telah memberikan kerjasama yang baik kepada saya dan pasukan PDRM.

“Saya percaya Ketua Polis yang baharu nanti akan meneruskan segala yang telah diusahakan sehingga hari ini, dengan menggunakan pendekatan dan cara tersendiri.

“Terima kasih sekali lagi dan saya pasti merindui Pulau Pinang,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua pihak yang pernah bekerjasama dengan beliau sepanjang berkhidmat di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada Mohd. Shuhaily yang telah banyak mengambil pelbagai pendekatan baharu dalam mendepani isu-isu berkaitan keselamatan.

“Paling ketara adalah sifat rendah dirinya dalam mendekati dan bekerjasama dengan masyarakat yang mana beliau amat disenangi serta diterima baik oleh masyarakat di sini.

“Malah, bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri Pulau Pinang, kami amat senang bekerjasama dengan beliau terutama ketika berdepan detik mencabar pada tempoh pandemik.

“Saya percaya bahawa pandemik telah membawa kita (Kerajaan Negeri, PDRM dan rakyat) untuk bekerjasama dengan lebih erat, saling memberi sokongan antara satu sama lain termasuk dalam menggunakan segala sumber yang ada bagi memastikan strategi dan inisiatif dirangka berjaya.

“Terima kasih dan selamat maju jaya di Kuala Lumpur nanti, kami di Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan beliau di sini,” ujarnya yang turut berterima kasih atas jasa baik Mohd. Shuhaily dan PDRM Pulau Pinang sehingga ke hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING