BAGAN JERMAL – Bagi tahun 2025, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan berjumlah RM13.5 juta serta telah melimpahkan manfaat kepada lebih 14,000 petani negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa daripada peruntukan yang diterima Jabatan Pertanian Negeri itu, RM5.53 juta disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri sebenarnya komited memastikan impak yang lebih besar dengan menyediakan RM1.0 juta bagi pelaksanaan Program Homebased Industri Asas Tani, dan RM500,000 bagi pemerkasaan infrastruktur asas tani, penggunaan teknologi serta peningkatan produktiviti sektor pertanian negeri secara berterusan.
“Program Homebased Industri Asas Tani adalah memberi fokus kepada pembangunan usahawan tani dari rumah melalui penyediaan peralatan, peningkatan kapasiti pengeluaran, pembungkusan, pemasaran serta pembangunan modal insan.
“Seramai 126 peserta terlibat dalam program ini, dan dijangka mampu meningkatkan kualiti produk, kebolehpasaran serta pendapatan isi rumah warga tani.
“Penyerahan traktor dan dron hari ini pula adalah sejajar dengan objektif mekanisasi pertanian untuk mengurangkan kos operasi, menangani kekurangan tenaga buruh, meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman serta menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (loT).
“Sehingga kini, terdapat 11 koperasi tani aktif di Pulau Pinang yang bakal menerima manfaat langsung daripada inisiatif ini,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyerahan Peralatan Industri Asas Tani (Homebased) dan Jentera Pertanian Bagi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025 di sini pada 14 Februari 2026.
Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya senantiasa melihat sektor padi sebagai tunjang utama keterjaminan negeri dengan memperuntukkan sejumlah RM1.88 juta bagi pembangunan sektor tanaman padi di Kampung Guar Petai, Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Bukan setakat itu sahaja, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menyalurkan sejumlah RM450,000 bantuan khas kepada 5,567 pesawah di seluruh negeri bagi meringankan kos pengeluaran selain meningkatkan produktiviti mereka.
“Hasil usaha berterusan ini, Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukan untuk tahun ketujuh berturut-turut bagi hasil padi antara tertinggi dalam negara, dengan purata 4.80 tan sehektar, sekali gus mengukuhkan sumbangan negeri kepada agenda keterjaminan makanan nasional,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol turut berucap pada majlis Majlis Penyerahan Peralatan Industri Asas Tani (Homebased) dan Jentera Pertanian Bagi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2025 tersebut.

Pada sidang media selepas itu, Fahmi memberitahu bahawa pihaknya bagi tahun 2025 memang telah memohon sejumlah RM1.5 juta peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan demi memperkukuh sektor penanaman padi yang menjadi tunjang utama bagi agenda keterjaminan makanan pada perongkat negeri dan nasional.
Bagi tahun 2026 pula, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri memohon RM29 juta peruntukan Persekutuan untuk Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang melaksanakan program insentif sokongan tambahan kepada para pesawah dan petani negeri, termasuk menyediakan jentera pertanian dan memperbaiki sistem pengairan serta teras tanah bagi penanaman padi.
“RM29 juta peruntukan tambahan yang dimohon ini di bawah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, itu tidak termasuk peruntukan yang dimohon di bawah MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang) lagi untuk projek khas negeri.
“(Permohonan RM29 juta peruntukan tambahan yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan tersebut) adalah untuk mengekalkan produktiviti sektor sawah padi, juga khusus untuk Program Keterjaminan Makanan Negeri 2026,” ulasnya yang juga ADUN Pantai Jerejak dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow.
Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS