Seladang tak ‘terkejor’ Harimau Kumbang

Admin
ANTARA aksi cemas perlawanan Penang FC menentang Perak PC yang sempat dirakamkan lensa kamera Buletin Mutiara di Stadium Bandaraya pada malam ini.

GEORGE TOWN – Kelincahan permainan Skuad Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya pada malam ini seakan tak ‘terkejor’ dek Skuad Seladang dari Perak.

Dengan slogan ‘Kejor Yop Kejor’, tandukan pemain tengah Perak FC ‘Careca’ atau nama sebenarnya Raianderson Da Costa Morais pada minit ke-11 berjaya lolos ke gawang tuan rumah.

Sejak itu, pasukan Penang FC di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Trucha Tomas bangkit mengasak gawang pasukan pelawat berkali-kali.

Sehinggalah pada minit ke-43, kelincahan Harimau Kumbang berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penyudah pemain jersi nombor 9, Ansemo Arruda Da Silva dalam dalam petak penalti.

Belum sempat Skuad Seladang bangkit menunjukkan ‘tanduk’, kelincahan permainan Harimau Kumbang kian menjadi-jadi sehingga dirasai oleh para penonton termasuk Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

HARIA Penang Haria! Sorakan kemenangan Ketua Menteri (depan, kiri), Soon Lop Chee (depan, kanan) serta penyokong Skuad Harimau Kumbang yang lain.

Tandukan pemain pertahanan, Rafael Vitor Sanios De Freitas ke bucu kiri gawang Perak FC menyumbang satu gol lagi kepada Penang FC menjadikan mata kemenangan kepada pasukan Harimau Kumbang 2 berbalas 1.

Sehingga minit ke-90, Skuad Seladang tak ‘terkejor’ dek kelincahan Pulau Pinang.

Ketika ini, Penang FC di kedudukan ke-4 Liga Super, sementara Perak FC jatuh ke kedudukan tangga 9.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR