Selesai isu air Sungai Muda di meja rundingan, kata responden

ISU hak riparian sumber air mentah Sungai Muda menjadi hangat selepas Menteri Besar Kedah mengemukakan tuntutan caj berjumlah RM50 juta setahun daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tidak terhenti di situ, malahan baru-baru ini Menteri Besar Kedah turut mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan bahawa Pulau Pinang mungkin terpaksa mengepam air selut dari Sungai Muda suatu hari nanti, sekiranya enggan membayar pampasan kepada negeri itu.

Terusan air yang dibangunkan oleh PBAPP dekat Lahar Tiang Kepala Batas bagi kegunaan penduduk Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu juga, beliau berkata bahawa kerajaan negeri Kedah mempunyai beberapa projek yang belum boleh diumumkan dan sekiranya dilaksana, ia boleh mengakibatkan Pulau Pinang tidak lagi mendapat sumber air melalui Sungai Muda.

Kenyataan tersebut bagaimanapun telah menimbulkan polemik dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di kedua-dua negeri berkaitan.

Di pihak Pulau Pinang pula, Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian untuk mempertahankan hak riparian sumber air mentah Sungai Muda bagi negeri tersebut di mahkamah.

Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa individu untuk mendapatkan pandangan mereka berkenaan isu ini yang dilihat mungkin boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat sekiranya dibiarkan berpanjangan.

Mohd. Yusri Mustafa.

Bagi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Guar Kepah, MOHD. YUSRI MUSTAFA, 37, tuntutan dibuat Menteri Besar Kedah adalah tidak munasabah kerana Pulau Pinang sememangnya berhak menggunakan air Sungai Muda di sempadan negeri ini.

“Pulau Pinang mengekstrak air mentah Sungai Muda dari sempadan negeri dekat muka sauk Lahar Tiang di bahagian Seberang Perai Utara (SPU).

“Tambahan pula, air Sungai Muda mengalir secara semula jadi ke sempadan negeri Pulau Pinang, jadi di sini tidak timbul isu bayaran pampasan kepada negeri Kedah,” katanya ketika ditemui pagi tadi.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya Menteri Besar Kedah masih berdegil untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ia harus diselesaikan secara baik di meja rundingan.

“Menteri Besar Kedah perlu berbincang antara negeri dengan negeri, pemimpin dengan pemimpin dan bukannya mengeluarkan kenyataan semberono sehingga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Kenyataan-kenyataan seperti itu dilihat kurang matang dan tidak sesuai dikeluarkan oleh pemimpin utama sesebuah negeri apatah lagi seorang Menteri Besar,” tegasnya yang merupakan anak jati Penaga.

Koo Ban Tien.

Seorang lagi responden, KOO BAN TIEN, 44, dari Kuala Muda berpendapat bahawa isu bayaran caj penggunaan air Sungai Muda hanyalah isu politik yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu.

Katanya, isu tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan Pulau Pinang mengekstrak air mentah dari Sungai Muda di sempadan negeri ini.

“Air dari Sungai Muda yang mengalir ke sempadan negeri Pulau Pinang adalah secara semula jadi dan ia berbeza dengan pengambilan air mentah di negeri-negeri lain seperti di Pahang dan Melaka.

“Apakah pelaburan yang telah dibuat oleh negeri Kedah seperti membina paip atau penyediaan jentera sehingga memerlukan Pulau Pinang membayar sehingga RM50 juta setahun?

“Setahu saya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sendiri yang menyediakan segala jentera untuk merawat air bagi kegunaan penduduk negeri ini tanpa perlu memaksa negeri Kedah mengeluarkan sebarang kos,” ujarnya.

Justeru katanya, Menteri Besar Kedah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak, sebaliknya perlu menyelesaikan isu tersebut secara rundingan antara kedua-dua kerajaan negeri.

“Kalau ada iltizam hendak selesaikan isu ini, kedua-dua kerajaan negeri perlu tubuhkan satu badan atau majlis rundingan.

“Namun sekiranya selepas majlis ini diwujudkan dan isu ini masih juga tidak selesai, maka kedua-dua pihak bolehlah meminta campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan atau jalan terakhir adalah dengan membawa kes ini ke mahkamah,” katanya lagi.

Husin Mat Isa.

Nada sama disuarakan oleh Pengerusi MPKK Permatang Tiga Ringgit, HUSIN MAT ISA, 73, yang menyatakan bahawa isu pampasan penggunaan air Sungai Muda tidak pernah timbul semasa pentadbiran lapan orang Menteri Besar Kedah sebelum ini.

Hal ini demikian kerana katanya, Pulau Pinang juga berhak menggunakan air mentah dari Sungai Muda di sempadan negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian dan undang-undang negara.

“Mungkin seseorang mahu dilihat sebagai ‘hero’, sebab itulah beliau memang sengaja menimbulkan dan memperbesar-besarkan isu ini.

“Setahu saya, tidak pernah ada perjanjian yang menyatakan Pulau Pinang perlu membayar untuk menggunakan air mentah dari Sungai Muda kerana ia adalah hak bersama antara kedua-dua negeri,” katanya yang merupakan anak watan Kampung Bakar Kapor dekat Penaga.

Cheng Siew Yang.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pekebun Kecil Pulau Pinang, CHENG SIEW YANG, 48, berkata bahawa isu tuntutan caj air mentah Sungai Muda sewajarnya diselesaikan di meja rundingan.

Katanya, kedua-dua pihak perlu merujuk semula kepada dokumen perjanjian asal sebagaimana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam isu berkaitan sejak berpuluh tahun dahulu.

“Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya mengemukakan fakta yang jelas dan bukannya mengeluarkan ugutan sehingga menampakkan sikap kebudak-budakan.

“Dalam keadaan rakyat berdepan situasi sukar dek penularan pandemik COVID-19, isu-isu seperti ini sudah pasti menimbulkan satu lagi kerisauan kepada mereka khasnya para petani dan pekebun.

“Jadi, pada saya isu ini lebih baik diselesaikan secara baik melalui rundingan dan bukannya menjadikan ia sebagai modal untuk meraih populariti kerana kesannya tidak baik untuk rakyat di kedua-dua negeri,” tegasnya lagi.

A. Tharman.

Menurut Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Bukit Bendera Council, A. THARMAN pula, isu berkaitan caj sumber air mentah Sungai Muda sengaja dibangkitkan kerana faktor perbezaan politik semata-mata.

Hal ini demikian kerana katanya, air dari Sungai Muda mengalir secara semula jadi dan ia tidak tertakluk kepada milikan mana-mana pihak sama ada negeri Kedah mahupun Pulau Pinang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kedah seharusnya mengadakan rundingan bersama untuk menyelesaikan isu berbangkit secara lebih efisien.

“Air merupakan keperluan asas dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan. Walaupun kedua-dua negeri ditadbir oleh parti yang berlainan namun pada asasnya mereka dipilih oleh rakyat Malaysia.

“Oleh itu, apa juga projek yang hendak dilaksanakan di Sungai Muda ia harus mendapat persetujuan kedua-dua pihak supaya hak rakyat di Pulau Pinang dan Kedah tidak dinafikan dek kerana perbezaan politik,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS