Semangat ‘harmoni’ di Masjid Melayu Lebuh Acheh dipuji

Admin
KETUA Menteri (depan, dua dari kanan) diiringi Mujahid Yusof Rawa (kanan sekali) menyampaikan pek sumbangan bantuan makanan kepada seorang penari beca di perkarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh di sini tadi.

GEORGE TOWN – Seramai 100 golongan terpilih termasuk penarik beca sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town pada lewat petang tadi berhimpun di perkarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh bagi menerima sumbangan berupa pek makanan asas daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri.

Selaku tuan rumah, pengerusi jawatankuasa kariah masjid tersebut, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa memberitahu bahawa Jalan Harmoni di sini turut menjadi saksi para pemimpin rumah ibadat bukan Islam (RIBI) lain untuk bersama-sama Kon Yeow bagi meraikan umat Islam berbuka puasa.

KETUA Menteri (kanan) dan Mujahid Yusof Rawa semasa majlis berbuka puasa di sini tadi.

Menurut beliau, usaha pentadbiran Kon Yeow yang menyemarakkan semangat harmoni dalam kalangan rakyat berbilang kaum akan terus menjadi sumber kekuatan bersama serta identiti negeri Pulau Pinang.

“Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri yang berkunjung ke Masjid (Melayu Lebuh Acheh) kami yang berusia 218 tahun ini.

“Bagi saya, usaha Kerajaan Negeri menyemai semangat harmoni dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan kepercayaan pada malam ini bukan sahaja disaksikan oleh sekalian ahli kariah Masjid Lebuh Acheh dan Masjid Kapitan Keling, malah para pemimpin rumah ibadat (RIBI) lain di sepanjang Jalan Harmoni yang turut serta pada majlis berbuka puasa pada petang ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak pada majlis berkaitan pada 15 April 2022.

KETUA Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri merakamkan gambar kenangan bersama-sama jawatankuasa kariah Masjid Melayu Lebuh Acheh.

Selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus menyemarak semangat harmoni dan muhibah di negeri ini di samping meningkatkan kualiti hidup mereka berpandukan Visi Penang2030.

“Kita (Kerajaan Negeri) tahu bahawa kita perlu menghargai apa yang kita ada sesama kita demi mewujudkan semangat harmoni.

“Sehubungan itu, saya percaya melalui program (dengan tema keharmonian) seumpama ini, dapat menyemai semangat erti saling menghormati sesama kaum,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen, Pegawai Penerangan Bahagian Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai ‘majlis harmoni’ tersebut.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling, Datuk Faruk Raja Mohamed dan tiga ahli majlis St. George’s Anglican Church iaitu John Koay, Lucas Benjamin serta Robert Moses.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI