Semarakkan kesedaran kempen plastik sekali guna peringkat sekolah – Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa kira-kira 28 peratus kadar kitar semula di Malaysia adalah masih rendah berbanding dengan negara maju serantau.

Sehubungan itu, beliau berharap agar penganjuran pertandingan video pendek kempen berkaitan pada peringkat sekolah menengah yang dilancarkan MBSP pada 28 April lalu bukan sahaja menggalakkan generasi muda berkongsi idea dengan masyarakat, malah mampu memupuk kesedaran tentang plastik sekali guna.

“Kajian pada tahun 2019 oleh World Wide Fund for Nature (WWF) menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat kedua di Asia sebagai pengguna plastik per kapita tahunan iaitu 16.78 kilogram (Kg) setiap orang yang mana Malaysia mengatasi negara-negara lain termasuk China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam berdasarkan keseluruhan sisa yang dihasilkan.

“Dengan lebih 1,300 pengeluar plastik, Malaysia juga merupakan salah satu industri pengeluar plastik terbesar di dunia.

“Jumlah kadar kitar semula di Malaysia meningkat setiap tahun tetapi masih lagi rendah berbanding negara-negara maju lain iaitu 28 peratus; ini diburukkan lagi dengan proses dan keupayaan kitar semula yang terhad di negara ini,” jelasnya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video ‘Single Use Plastic’ Peringkat Sekolah Menengah 2021 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP pada 23 November 2021.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Turut menyaksikan, WHIP Parti, P. David Marshel, Ahmad Rizal Abd. Hamid dan Muhamad Suzuki Ahmad; Ahli-ahli Majlis MBSP serta Ketua-ketua Jabatan bagi PBT berkenaan.

Di samping itu, Rozali berkata The United Nations Environment Programme (UNEP) mendedahkan bahawa plastik sekali guna seperti beg runcit, bekas, botol dan penyedut minuman sering dibuang dalam tahun ia dihasilkan.

“Oleh itu, dianggarkan terdapat 12,000 juta tan matrik sisa plastik di bumi menjelang tahun 2050 jika trend semasa dalam penggunaan plastik berterusan,” ujarnya lagi.

Johan pertandingan pada kali ini adalah milik Chong Ai Thung dan Lim Jin Hui dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya diikuti Naib Johan adalah Ho Jia Yi (SMK Tengku Abdul Rahman) dan tempat ketiga Thor Rui En (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Butterworth).

Dua hadiah saguhati pertandingan masing-masing adalah milik pelajar SMK Datuk Onn Butterworth (Mohamad Izzat dan Amir Omarrani) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irsyad (Muhammad Waiz Imran Mohd. Zulkifle dan Muhammad Nabil Kharul Nizam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS