Teruskan usaha tangani penjualan arak murah dan tiruan di kedai runcit – Ahli Majlis MBSP

SEBERANG PERAI – Usaha menangani aktiviti penjualan arak murah dan tiruan di semua premis kedai runcit di sekitar bahagian Seberang Perai wajar diteruskan.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel berkata demikian kepada pemberita sebelum menyampaikan ucapan penangguhan sempena berlangsung Mesyuarat Penuh Majlis di Menara Bandaraya di sini pada 23 November 2021.

Menurutnya, sejak tahun 2016 sebanyak dua kali mesyuarat berkaitan telahpun diadakan bersama-sama mantan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow Exco Kerajaan Tempatan yang kini merupakan Ketua Menteri.

“Kita (MBSP) memang ada syarat yang ketat dan kita juga ada dasar, antaranya kita tidak mahu membenarkan arak jenis murah dan tiruan dijual di kedai-kedai runcit.

“Dan, cadangan ini turut dibawa pada peringkat Kerajaan Negeri, sudah ada dua kali pertemuan berkaitan dan Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan secara dasarnya beliau bersetuju, tetapi ditangguhkan dulu untuk kajian lanjut.

“Kita di Seberang Perai bukan mahu mengharamkan terus penjualan arak seperti yang dilaksanakan oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), kita tidak mahu minuman itu dijual di kedai runcit, hanya premis khusus sahaja menjual arak.

“Dengan cara sebegini, langkah pengawalan dan pemantauan akan menjadi lebih efisien dan mudah,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau berkata bahawa dengan hanya membenarkan premis khusus menjual arak sekali gus dapat mengawal lagi akses arak murah dan tiruan dalam kalangan rakyat daripada kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) serta pelajar sekolah.

“Paling penting di sebalik cadangkan kita pada peringkat MBSP ini adalah untuk meningkatkan lagi tahap kesejahteraan serta ketenteraman awam di samping mengajar rakyat pada gaya hidup yang lebih sihat,” jelasnya sambil memberitahu bahawa dasar berkaitan adalah selari dengan Visi Penang2030 yang bertemakan ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS