Semarakkan semangat kemerdekaan, pulih ekonomi dan jadikan Malaysia ‘Asian Tiger’ kembali – Tun M

Admin

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Pulau Pinang pada malam ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Kerajaan dan rakyat mesti saling bersama dalam memulihkan ekonomi negara sehingga Malaysia dikenali sebagai ‘Asian Tiger’ semula.

“Kerajaan pilihan rakyat berjanji akan berusaha sungguh-sungguh untuk mengembalikan negara bertuah ini sehingga menjadi ‘Asian Tiger’ semula.

“Kita yakin kita boleh, jika tidak sepenuhnya tetapi meletakkan balik ke jalan yang dapat membawa kita ke arah itu.

“Negara kita selamat daripada pemerintahan kleptokrasi dan rakyatlah yang menyelamatkan negara ini,” ucapnya ketika merasmikan sambutan berkaitan di Padang Kota Lama tadi.

Tambah Mahathir, rakyat pada semua peringkat seharusnya sabar serta memberi kepercayaan kepada pentabdiran Kerajaan Persekutuan hari ini, dalam memulihkan semula ekonomi negara.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Mahathir kerana Pulau Pinang pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu dipilih sebagai negeri berlangsungnya acara Persekutuan kali ini, dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Sebagai warganegara, kita perlu bersyukur kerana menjadi rakyat negara ini, yang merdeka, harmoni dan sejahtera.

“Setelah sekian lama ditinggalkan oleh program-program arus perdana yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, pemilihan Pulau Pinang sebagai negeri pelancaran program ini adalah bermakna,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.

Turut berucap, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, anggota-anggota kabinet jemaah menteri; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Muhamad Ariff Md. Yusof; Ketua Setiausaha Negeri, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen Malaysia turut sertai majlis tersebut.

Selain menyaksikan pelbagai persembahan pentas, Mahathir turut menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Kembara Merdeka membabitkan 20 kenderaan dan 40 motorsikal berkuasa tinggi.

Kumpulan Bunkface, Ella, Siti Nor Diana, Suki, Azlan & The Typewritter, Atmosfera, Waris dan Bob AF antara artis yang menyerikan acara terakhir pada malam ini, iaitu Konsert Sayangi Malaysiaku.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU MD RADZI & AHMAD ADIL MUHAMAD

Video/Video Langsung : ALISSALAA THIAN & CHEAH LAY PING