Sembilan rumah kebajikan, RIBI terima sumbangan Yayasan TYT sempena Tahun Baru Cina

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkaitan di Kampung Selamat, Pinang Tunggal pada 16 Januari 2023.

PINANG TUNGGAL – Sembilan wakil rumah ibadat bukan Islam (RIBI) dan rumah kebajikan terpilih masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman

Semasa berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merakamkan penghargaan kepada Ahmad Fuzi kerana memilih Kampung Selamat di sini sebagai lokasi acara penyampaian bantuan kepada golongan terpilih sempena sambutan Tahun Baru Cina 2023 yang kian kunjung tiba.

“Terima kasih kepada Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang atas penganjuran program ini.

“Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama kerana telah memilih Kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) ini untuk mengadakan program penyampaian sumbangan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti di Dewan Moral Uplifting Kampung Selamat di sini pada 16 Januari 2023.

ROZALI Mohamud

Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud yang berucap sebelum itu berkata bahawa kumpulan yang memerlukan, badan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, sosial dan komuniti, RIBI, rumah kebajikan, rumah anak yatim serta pembangunan ekonomi setempat akan diberi tumpuan oleh yayasan berkenaan pada tahun 2023.

Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar dan ADUN Bagan Dalam, M. Satees antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD