Sempena Deepavali, Ketua Menteri seru perbanyakan amalan baik dalam diri

Admin
KETUA Menteri menyampaikan amanat semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 DAP Pulau Pinang di sini pada 26 November 2023.

GEORGE TOWN – Sebagaimana maksud di sebalik perayaan Deepavali, seluruh keanggotaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang diseru untuk lebih banyak mengamalkan kebaikan dalam semua lapangan supaya selari dengan citarasa rakyat serta berpaksikan kepada kepentingan negeri.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang menyampaikan amanat tersebut semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 DAP Negeri di Dewan Lee Shih Chong Soo, Jalan Burma di sini pada 26 November 2023.

“(Di sebalik perayaan Deepavali) dua perkara penting yang disebutkan tadi adalah kebaikan dan kelemahan, jadi sebagai Kerajaan mahupun sebagai seorang insan, marilah kita melakukan lebih banyak kebaikan supaya ia (kebaikan-kebaikan ini) dapat mengatasi kelemahan-kelemahan baik dalam kerajaan, parti, apa-apa pertubuhan, keluarga mahupun dalam diri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu menyatakan bahawa DAP bersama-sama rakan parti politik lain telah masuk penggal keempat memerintah Pulau Pinang, maka sudah pasti mempunyai cabaran yang lebih besar dalam memakmurkan ekonomi negeri serta ekonomi rakyat.

Justeru, beliau memberitahu bahawa adalah menjadi kewajipan bersama khususnya peringkat keahlian DAP Pulau Pinang untuk memastikan urus tadbir Kerajaan Negeri senantiasa ditingkatkan dengan pelaksanaan dasar-dasar kebajikan yang benar-benar relevan dengan kehendak rakyat.

Turut berucap, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Jelutong merangka Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Rumah Terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang 2023, R.S.N. Rayer.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad; dan Ketua Penerangan Umno Bahagian Jelutong, Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING