Semua acara sukan di Pulau Pinang perlu kelulusan Kerajaan Negeri & Pesuruhjaya Sukan Malaysia – Exco

BAGAN JERMAL – Semua acara sukan yang akan dianjurkan di negeri ini perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, kata Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Jelasnya, mana-mana pihak termasuk persatuan sukan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, syarikat persendirian dan sebagainya yang mahu menganjurkan aktiviti sukan terutamanya melibatkan penyertaan orang ramai perlu mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Belia dan Sukan.

“Pulau Pinang sangat aktif dengan penganjuran aktiviti sukan dan kecergasan yang mana hampir setiap minggu pelbagai aktiviti sukan dianjurkan di negeri ini.

“Sebagai Exco Belia dan Sukan, saya amat mengambil berat tentang penganjuran aktiviti sukan massa terutama dari segi keselamatan.

“Oleh itu, bagi memastikan aktiviti-aktiviti sukan ini berjalan dengan lancar dan selamat, saya mewakili Kerajaan Negeri telah berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia berkaitan beberapa peraturan berkenaan penganjuran sukan di negeri ini,” kata Lip Chee pada sidang media dekat pusat khidmatnya di sini sebentar tadi.

Tambah beliau, bagi penganjuran sukan tempatan, tempoh permohonan perlu dikemukakan adalah di antara dua hingga empat minggu sebelum acara berlangsung, manakala bagi acara sukan antarabangsa pula memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan.

“Mana-mana penganjur yang gagal berbuat demikian atau melanggar peraturan yang ditetapkan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, pindaan Seksyen 36 mulai 1 April 2018 boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara dalam tempoh lima tahun.

“Justeru, saya menyarankan kepada semua persatuan sukan dan pihak berkaitan untuk mendaftar di bawah Pesurujaya Sukan Malaysia bagi memudahkan penganjuran pelbagai jenis aktiviti sukan di negeri ini,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Difahamkan, permohonan kelulusan boleh dikemukakan kepada Pejabat Exco Belia dan Sukan dengan melengkapkan dokumen-dokumen penting termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), surat lantikan pasukan keselamatan insurans dan sebagainya.

Penganjur juga boleh memuat turun Borang PSA1/Borang PL1 melalui laman sesawang Pesuruhjaya Sukan Malaysia di http://pps.kbs.gov.my.

Mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat-syarat atau menjalankan aktiviti sukan tanpa kelulusan daripada Kerajaan Negeri akan dikenakan tindakan senarai hitam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD