Semua premis awam perlu capai kebersihan Gred A, tegas Jagdeep

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan bertolak ansur terhadap isu kebersihan premis awam di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan sasaran supaya semua premis awam di negeri ini perlu mencapai tahap kebersihan Gred A menjelang akhir tahun ini.

“Saya meletakkan sasaran yang tinggi kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkenaan tahap penggredan kebersihan di tempat-tempat awam seperti pasar awam, tapak-tapak penjaja, restoran serta tandas awam.

“Oleh itu, pada tahun lepas, kita keluarkan arahan supaya menjelang suku pertama tahun ini semua tempat-tempat awam terutama premis makanan naik sekurang-kurangnya mencapai Gred A dan B pada suku tahun pertama 2020…kita tidak mahu lagi ada Gred C,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, dekat sini pagi tadi.

Sr. Rozali Mohamud turut hadir pada sidang media berkaitan.

Menurut Jagdeep, awal tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan arahan baharu kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan semua premis awam termasuk premis makanan mencapai Gred A menjelang akhir 2020.

“Saya yakin sasaran ini boleh dicapai melalui pemantauan rapi dan penguatkuasaan yang tegas oleh kedua-dua PBT,” ujarnya sebagai menjawab laporan sebuah akhbar tempatan berkaitan isu kebersihan tempat-tempat makan di negeri ini yang dikatakan kurang memuaskan sehingga membawa imej negatif terhadap pelancong sepertimana dibangkitkan pada sesi Town Hall Penang Tourism Master Plan, 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memaklumkan bahawa pada penghujung tahun lepas, sebanyak 38.31 peratus premis makanan di Seberang Perai berada pada Gred A dan B manakala bakinya pada Gred C dan tidak ada lagi Gred D.

“Pada Januari lepas, kita dapat tingkatkan tahap peratusan ini kepada 44.25 peratus melalui usaha-usaha yang dilakukan seperti mengadakan sesi ‘engagement’ setiap empat bulan bersama-sama pengusaha kedai makanan milik swasta dan MBSP serta penguatkuasaan pada setiap hari.

“MBSP akan pastikan pada penghujung tahun 2020, semua premis makanan milik swasta dan kerajaan akan berada pada Gred A,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS