Semua skim perumahan layak di KADUN Pengkalan Kota terima minimum satu perojek penyelenggaraan, kata ADUN

GEORGE TOWN – Semua skim perumahan layak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota telah menerima sekurang-kurangnya satu projek penyelenggaraan melalui kaedah perkongsian kos dengan Perbadanan Pengurusan dan Badan Pengurusan Bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2023 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

“Impak projek penyelenggaraan ini boleh dilihat secara ketara yang mana selain daripada memastikan lif-lif berfungsi dengan baik, kerja penyelenggaraan tangki air turut memainkan peranan penting apabila Pulau Pinang berhadapan situasi bekalan air tergendala.

“Skim-skim perumahan yang mempunyai simpanan tangki air yang berfungsi dapat mengurangkan kesan tergendalanya bekalan air ini,” katanya.

Pada masa sama, Zi Sen menyeru agar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan bagi blok Pangsapuri Pelangi dan juga kawasan perumahan kluster Pintasan Cecil.

“Langkah ini adalah demi memastikan kesejahteraan dan kelestarian penduduk-penduduk di kawasan setempat,” ujarnya lagi.

Beliau dalam pada itu turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana memberikan keutamaan kepada kerja-kerja penyelenggaraan projek perumahan awam dan mampu milik swasta dalam Bajet 2023.

“Kerajaan Negeri telah peruntukkan RM13 juta dalam kerja membina, menaik taraf dan penyelenggaraan projek perumahan murah serta RM6.8 juta diperuntukkan melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP).

“Melalui projek penyelenggaraan sebegini, skim-skim perumahan berstrata menerima manfaat secara langsung bagi mengatasi masalah pembaikan kritikal yang dihadapi khasnya projek penyelenggaraan yang melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD