Seong Kin dilantik Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, bersama-sama kukuhkan pasukan di Balik Pulau

Admin

PULAU BETONG – Mantan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gooi Seong Kin dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Khas Kepada Y.A.B. Ketua Menteri bagi kawasan Balik Pulau berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelantikan tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus menyantuni para peniaga dan pengunjung Pasar Awam Balik Pulau dan Astaka Pasar MBPP di sini pagi tadi.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Kon Yeow berkata bahawa ia adalah bagi bersama-sama wakil rakyat setempat memperkukuhkan pasukan Pakatan Harapan di kawasan berkaitan.

“Saya percaya tiga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di bawah Parlimen Balik Pulau sentiasa berusaha sedaya-upaya melaksanakan tugas.

“Pelantikan Pegawai Penyelaras Khas dan Ahli-ahli Majlis MBPP dari kawasan Balik Pulau adalah untuk memperkukuhkan lagi pasukan ini.

“Sebelum ini, Pegawai Penyelaras Khas sememangnya dilantik di kawasan Kepala Batas, Tasek Gelugor untuk membantu mewakili Kerajaan Negeri mendampingi rakyat, menyampaikan dasar-dasar kerajaan dan menjadi platform yang mana isu-isu boleh dibawa ke perhatian wakil rakyat, Kerajaan Negeri serta agensi-agensi perkhidmatan lain,” jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Selain Seong Kin, turut serta ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Mohd. Tuah Ismail (ADUN Pulau Betong); Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas); Zolkifly Md. Lazim (ADUN Teluk Bahang) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

 

Seong Kin sebelum ini merupakan Ahli Majlis MBPP selama sembilan penggal dan mempunyai pengalaman luas.

Justeru, Kon Yeow melahirkan harapan agar dengan pelantikan tersebut, tidak ada lagi pihak di kawasan Balik Pulau khususnya akan tercicir daripada segala perkhidmatan serta program-program anjuran Kerajaan Negeri.

“Saya percaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini pun, Balik Pulau menyaksikan banyak perubahan daripada segi pembangunan dan produk-produk pelancongan.

“Oleh demikian, diharap pasukan di Balik Pulau dan Daerah Barat Daya (DBD) ini akan memainkan peranan dengan baik untuk memastikan sokongan terhadap Pakatan Harapan di kawasan ini kekal dalam kedudukan baik serta selesa,” ujarnya.

Kon Yeow sebelum itu meluangkan masa hampir satu jam beramah-mesra dan mengedarkan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina dengan para peniaga dan pengunjung di sini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING