Sepak Takraw Piala Penang2030 naikkan martabat sukan tradisional

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030 dapat menaikkan semula martabat sukan tradisional tersebut.

 

Menurut beliau, kejohanan tersebut agak unik kerana setiap pasukan disyaratkan untuk menghantar seorang wakil atau peserta berumur antara 18 hingga 21 tahun yang mana ia mampu menjadi platform dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam golongan beliau khususnya.

 

“Umumnya, sepak takraw merupakan sukan tradisional yang mulai dipinggirkan terutamanya dalam kalangan belia dan remaja.

 

“Justeru, diharap platform sebegini dapat menyerlahkan bakat-bakat baharu yang mampu menyinar pada masa hadapan.

 

“Pada masa sama juga, saya terharu dengan sokongan serta kesudian para veteran dan lagenda sepak takraw negara yang sudi hadir pada program kita hari ini,” ujarnya semasa merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030 yang berlangsung dekat Kompleks Sukan Azman Hasim, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Prof. Dr. Md. Roslan Hashim; Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Daerah Timur Laut, Mokhtar Sheriff.

Antara lagenda sepak takraw Pulau Pinang yang hadir dan menerima penghargaan khas adalah Md. Noor Ali, Mohd. Sopian Ibrahim, Zainuddin Ali, Amir Abu Bakar, Mustakim Walad, Saladin Rahim dan Rozali Nordin.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata bahawa pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini berkenaan Negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April 2022 juga melahirkan kelegaan kepada banyak pihak.

 

“Namun, harus diingatkan bahawa langkah berjaga-jaga dan kawalan kendiri juga perlu dititikberatkan.

 

“Saya difahamkan bahawa penganjuran hari ini merupakan kejohanan besar pertama diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim selepas tahun 2018 oleh Majlis Kebajikan Sukan dan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Kebangsaan.

 

“Malah, kejohanan ini juga merupakan program pertama Kerajaan Negeri yang diadakan di dalam kampus USM setelah siapnya pembinaan kompleks pada tahun 2015,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.


Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berharap agar kehadiran semua di kejohanan itu mampu memberi titik semangat kepada Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. 

 

Pada kejohanan tersebut sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian termasuk dari Kedah, Perlis, Perak, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

 

Tidak ketinggalan adalah pasukan dari Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : DARWINA MOHD. DAUD