Seperti Penang Cun, KM harap rakyat buat ‘undi perubahan’ demi Malaysia

#UNTUKNEGERIKITA… Kira-kira 15,000 umum menyertai larian ‘Saya Pulau Pinang’ Peringkat Seberang Perai sejauh 6 kilometer (km), lengkap dengan baju-t merah tertera tanda pagar #untuknegerikita dan mesej ‘Penang Cun’.

Berucap di pentas utama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berusia 10 tahun boleh dilihat hari ini kerana majoriti rakyat negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 lalu berani membuat ‘undi perubahan’.

Justeru tambahnya, Malaysia yang lebih bermaruah boleh wujud seperti ‘Penang Cun’ kelak, jika majoriti rakyat menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya umum nanti.

“Saya masih ingat Pulau Pinang pernah dikenali sebagai ‘Darul Sampah’, tetapi selepas kita (Pakatan) mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri ini, semua rakyat dapat merasai perubahan yang begitu ketara, diiktiraf sebagai salah satu bandar paling bersih peringkat Asia Tenggara.

“Semua dapat merasai perbezaan, Pulau Pinang hari ini lebih bersih dan lebih cun, sebab itu kita sebut ‘Penang Cun’.

“Kalau rakyat Malaysia pun mahu menjadi cun seperti ‘Penang Cun’, buat undi perubahan dalam pilihan raya umum kali ini nanti,” serunya yang juga Ahli Parlimen Bagan di hadapan Bangunan Datuk Haji Ahmad Badawi sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta di sini 11 Mac lalu.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang menyertai acara berkaitan. Guan Eng yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) nasional sekali lagi mengulangi hasrat untuk menghapuskan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) dalam 100 hari jika pakatan pembangkang berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan kelak.

Selepas acara larian selesai, kelihatan semua peserta mengambil kesempatan merakamkan gambar kenang-kenangan di ruang-ruang bergambar ‘Saya Pulau Pinang’ yang disediakan, selain mengikuti konsert santai di sini.