Terokai idea jejantas sotong dikomersial sebagai kawasan santai ‘minum kopi’

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

GEORGE TOWN – Kerja-kerja menaik taraf jejantas pejalan kaki atau lebih dikenali sebagai ‘jejantas sotong’ di persimpangan Jalan Penang/Jalan Burma/Jalan Dr. Lim Chwee Leong di sini yang membabitkan kos RM6 juta telah siap sepenuhnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, terdahulu satu kaji selidik berhubung cadangan merobohkan jejantas pejalan kaki tersebut telah dijalankan pada tahun 2013 bagi menggantikannya dengan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat.

“Hasil daripada kaji selidik mendapati bahawa sebanyak 70 peratus tidak bersetuju dengan perobohan berkaitan, manakala (30 peratus) lagi bersetuju.

“Memandangkan pandangan majoriti penduduk Pulau Pinang mahu mengekalkan jejantas pejalan kaki ini, maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan mengekal dan menaiktarafnya semula dengan melakukan beberapa penambahbaikan seperti menyediakan perkhidmatan lif dan tangga bergerak.

“Terima kasih syarikat IGB Corporation Bhd. (IGB) kerana sudi menanggung kos perbelanjaan (RM6 juta) ini sebagai
tanggungjawab sosial korporatnya (CSR),” ujarnya pada majlis perasmian projek berkaitan di sini 16 Mac lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Kerja-kerja menaik taraf jejantas tersebut bermula sejak Mei 2015 melibatkan pengalihan kabel-kabel utiliti, pembinaan tiga tangga bergerak, lif (4), pemasangan lampu jenis LED untuk pencahayaan kawasan jejantas dan pelebaran sebahagian jalan di sudut Jalan Dr. Lim Chwee Leong.

Pemasangan tactile untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di setiap penjuru tangga, menaik taraf bumbung jejantas dan penanaman pokok jenis heliantus turut dilaksanakan oleh Syarikat Ensignia Construction Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat IGB.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke Hanoi, Vietnam suatu masa dulu.

Menurutnya, di Hanoi kebanyakan lokasi-lokasi tinggi seperti jejantas dikomersialkan sebagai kawasan santai minum kopi sambil menikmati pemandangan lalu lintas dan kawasan sekitar.

“Mungkin MBPP boleh lihat kepada cadangan pelaksanaan seperti ini untukdiaplikasikan di sini.

‘“Seterusnya, MBPP boleh memanggil mana-mana pihak yang berminat untuk menjalankan dan menguruskan aktiviti di atas jejantas pejalan kaki ini melalui satu tender Request For Proposal (RFP) dalam masa terdekat,” jelasnya.