Seramai 1,294 jemaah haji Pulau Pinang berangkat ke Tanah Suci tahun ini

Admin
whatsapp image 2025 05 20 at 3.05.37 pm

BAYAN LEPAS – Seramai 1,294 bakal jemaah dari Pulau Pinang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun 1446H/2025M yang terdiri daripada 549 lelaki dan 745 wanita.

Majlis pelepasan kumpulan pertama seramai 142 jemaah telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib dengan diiringi isteri, Yang Mulia Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ketua Integriti dan Tadbir Urus Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd. Hasraff Hashim berkata, TH sentiasa menekankan pematuhan terhadap disiplin dan arahan yang ditetapkan demi kelancaran perjalanan ibadah serta keselamatan jemaah.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menasihati jemaah Pulau Pinang agar mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi mahupun peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh TH kerana semua ini bertujuan menjamin keselamatan jemaah serta memudahkan lagi proses mengerjakan haji.

“Para bakal haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas dan hati yang lapang untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan TH,” ujarnya.

whatsapp image 2025 05 20 at 3.05.39 pm
PARA jemaah haji negeri Pulau Pinang bersalaman dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib sebelum berlepas menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci.

Katanya, TH turut menyediakan pelbagai platform digital bagi memudahkan urusan jemaah termasuk aplikasi THhujjaj yang mempunyai modul e-Bimbingan dan e-Talib sebagai rujukan penting berkaitan ibadah, peraturan, serta panduan am.

“Penerbangan pertama dari LTAPP ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan pada jam 4.15 petang sebelum jemaah meneruskan penerbangan ke Tanah Suci menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8140.

“Mereka akan bergabung dengan kumpulan jemaah dari Sabah menjadikan jumlah seramai 284 orang dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.10 malam waktu Arab Saudi.

“Penerbangan kumpulan ini merupakan penerbangan ke-63 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji bagi tahun ini, dengan keseluruhan 31,600 orang bakal haji Malaysia dijadualkan ke Tanah Suci,” katanya.

Difahamkan, sehingga kini lebih 16,000 orang jemaah haji dari Malaysia telah pun tiba di Arab Saudi.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSHAD OMAR