Serambi PI: Jenayah seksual kanak-kanak dan daftar pedofilia (Bahagian 2)

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institiute

 

KES jenayah seksual terhadap kanak – kanak dinegara ini , sebagaimana juga di negara lain, sudah pasti akan menimbulkan kegemparan. Menurut statistik, setiap tahun tidak kurang daripada 2,000 kanak-kanak bawah umur 18 tahun dirogol, dan ini hanya mengambil kira kes yang dilaporkan. Sudah tentu, terdapat banyak lagi kes yang akan kekal senyap dan akhirnya lenyap bersama hayat mangsa.

Saya pasti ramai lagi yang masih ingat kepada kes Nurin Jazlin yang berusia lapan tahun ketika hilang berdekatan rumahnya di Wangsa Maju. Mayat Adik Nurin kemudiannya dijumpai lemas setelah dirogol. Sehingga ke hari ini, pelakunya belum diketahui.

Selain Adik Nurin, banyak lagi kes jenayah seksual kanak-kanak yang menyayat hati, misalnya kes rogol dan bunuh Nurul Huda Abdul Ghani, Harirawati Saridi yang kedua-duanya berusia 10 tahun, serta Nurul Nadirah Abdullah, juga dikenali sebagai Dirang, yang berusia lima tahun sahaja. Ini sekadar yang kita tahu.

Hakikatnya, terdapat ribuan lagi mangsa yang lain. Ramai yang kehilangan nyawa, ramai lagi yang terpaksa hidup dengan parut zahir dan luka batin untuk seumur hidup. Kanak-kanak ini, biar siapa pun mereka, biar apa pun latar mereka, pada hakikatnya mereka juga adalah anak-anak kita.

Setiap kali berlaku kejadian kes rogol kanak-kanak, kita akan menyaksikan masyarakat mencemuh kekejaman ini sambil mencurahkan simpati. Keluarga mangsa pula menaruh harapan ke atas undang-undang untuk melindungi anak mereka dan memastikan keadilan ditegakkan.

Namun, kita pernah lihat beberapa kes di mana pelaku yang didapati bersalah telah diberikan hukuman ringan ataupun dilepaskan dengan perintah berkelakuan baik (good behaviour bonds). Berikutan itu, mereka bukan sahaja dilepaskan, malah dibenarkan untuk menjalankan kehidupan harian seperti biasa, termasuk bekerja dalam persekitaran yang mempunyai ramai kanak-kanak, lantas memudahkan mereka untuk mengulangi perilaku jijik mereka.

Di sini, jelas terdapat kelemahan dan kekurangan dalam undangundang sedia ada di negara kita. Justeru, sebagai ahli badan perundangan tertinggi, banyak lagi yang boleh kita usahakan untuk memastikan gejala ini dapat dibendung dan dikurangkan.

Sebagai contoh, Perkara 17(2) (c) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa kanak-kanak yang teraniaya dari segi seks atau yang terlibat dalam apa-apa aktiviti yang berunsurkan seks harus diberikan perlindungan. Namun begitu, Akta ini bukan bersifat pencegahan dan tidak ada peruntukan untuk pemantauan atau pengawalan ke atas mereka yang didapati memiliki kecenderungan terhadap pedofilia, misalnya, iaitu kecelaruan psikologi di mana orang dewasa memiliki tarikan seksual terhadap kanak-kanak.

Satu kes yang tidak mungkin kita lupakan adalah pelajar Malaysia tajaan MARA di United Kingdom yang ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan pornografi kanakkanak. Kes ini mendapat perhatian antarabangsa kerana pelajar dalam bidang matematik yang menuntut di Imperial College, London itu telah didapati memiliki 30,000 gambar dan video termasuk yang membabitkan penderaan seksual kanak-kanak.

Pada ketika itu, ada pula pihak yang menyeru agar beliau diberikan “peluang kedua” untuk menyambung pengajiannya di Malaysia setelah habis menjalankan hukuman penjaranya di UK. Meskipun saya tidak menolak keperluan untuk memberikan peluang kedua, saya yakin tidak ada mana-mana ibu bapa yang akan rasa selesa jika tahu bahawa anak mereka akan menuntut bersama dengan seorang pesalah laku jenayah seksual yang begitu melampau.

Malangnya, sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air, beliau akan bebas tanpa sebarang pengawasan ke atas kegiatannya. Ini kerana negara kita tidak mempunyai undang-undang yang dapat memastikan mereka yang mempunyai kecenderungan pedofilia dapat dipantau agar tidak diberi peluang untuk memuaskan nafsu serakah mereka.

Oleh itu, saya harap agar Akta Kanak-Kanak 2001 boleh dipinda bagi melarang atau mengekang pergerakan pelaku jenayah seksual agar mereka tidak mendekati kawasan-kawasan seperti sekolah, pusat penjagaan, taman permainan dan sebagainya, ataupun bekerja dalam persekitaran yang membabitkan kanak-kanak. Cuba bayangkan jika mereka menjadi pendidik atau pengasuh kanakkanak!

Namun, undang-undang begitu tidak mencukupi jika tiada mekanisme untuk memantau dan mengawal mereka yang disabitkan atas kesalahan seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak. Justeru, saya juga mencadangkan agar satu daftar pelaku jenayah seksual (sex offender registry) diwujudkan untuk tujuan ini.

Dalam hal ini, terdapat dua jenis daftar, sama ada yang terbuka seperti di Amerika Syarikat, ataupun tertutup seperti di kebanyakan negara lain. Pada hemat saya, adalah tidak wajar daftar terbuka digunakan, kerana ia akan menimbulkan kebimbangan pencabulan kebebasan awam. Sebaliknya, sudah memadai untuk menggunakan daftar sulit yang hanya boleh dicapai oleh pihak berkepentingan seperti polis dan jabatan-jabatan yang berkait dengan kesihatan dan kebajikan.

Pada ketika ini, kita mempunyai Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969, yang hanya meliputi kesalahan-kesalahan seperti rogol, perlakuan liwat dengan haiwan dan persetubuhan luar tabii. Walaupun demikian, daftar sedia ada ini tidak memadai kerana tidak ada daftar khusus bagi pedofilia ataupun pelaku jenayah seksual kanakkanak. Maka, saya harap ia dapat dipertimbangkan dengan serius.

Satu lagi sudut yang perlu diberi perhatian adalah pornografi. Berdasarkan satu kajian yang dibuat di Malaysia pada tahun 2007, 90 orang perogol yang disabitkan telah disoal selidik dan hasilnya menunjukkan bahawa pornografi merupakan antara faktor utama yang mendorong mereka untuk merogol (pornografi 31.1 peratus, nafsu tidak terkawal 23.3 peratus, faktor psikopatologikal 10 peratus, faktor psikologi 5.6 peratus, menyalahkan wanita 2.2 peratus manakala 27.8 peratus tidak menjawab).

Dalam hal ini, saya rasa adalah penting kita menghayati perbezaan antara pornografi umum dan pornografi kanak-kanak. Walaupun tidak semestinya bahawa seseorang yang menonton pornografi kanakkanak itu akan mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak, namun ia dapat mengaburkan pemikiran dan penilaian mereka serta mengurangkan kesekatlakuan (inhibitions) mengenai tingkah laku seksual yang boleh diterima terhadap kanak-kanak atau remaja, hatta membangkitkan nafsu seks seseorang itu terhadap kanak- kanak, walaupun mereka pada asalnya mungkin tidak mempunyai tarikan begitu.

Oleh itu, pornografi kanak-kanak adalah satu kesalahan yang sangat dahsyat dan harus dicegah. Pun begitu, undang-undang kita gagal membezakan antara pornografi umum dan pornografi kanak-kanak. Malahan, Seksyen 292 Kanun Jenayah hanya merujuk kepada objek lucah (obscene objects) secara umum dan tidak mentakrifkan pornografi dengan jelas, apatah lagi pornografi kanak-kanak.

Saya berpendapat bahawa kita memerlukan undang-undang baru yang bukan sahaja mentakrifkan serta membezakan pornografi kanak-kanak daripada bahan lucah lain, tetapi juga memperkenalkan hukuman yang berat ke atas mereka yang mengedar dan menghasilkan pornografi kanak-kanak.

Dari segi teknologi dan penggunaan Internet pula, Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997 melarang pengisian yang sumbang, lucah atau jelik. Namun begitu, kita juga memerlukan undang-undang khusus untuk mendakwa mereka yang melayari serta memuat turun pornografi kanak-kanak. Pada masa yang sama, Penyedia Perkhidmatan Internet (Internet Service Provider) juga harus diwajibkan untuk melaporkan sebarang pornografi kanak-kanak yang ditemui dalam rangkaian mereka

Akhir sekali, kita juga memerlukan kerangka undangundang untuk menangani gejala online grooming, iaitu orang dewasa yang berkawan dengan kanak-kanak melalui Internet, umpamanya dengan media sosial Facebook dan sebagainya, dengan tujuan mengambil kesempatan ke atas mereka dari segi seksual. Kes seperti ini makin kerap berlaku, kerana teknologi memudahkan komunikasi antara pedofilia dengan kanak-kanak.

Walaupun Seksyen 372B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang mencari pelanggan atau mendesak bagi tujuan pelacuran atau aktiviti tidak bermoral, dan Seksyen 377E menghukum sesiapa yang menghasut kanak-kanak bawah usia 14 tahun untuk berlaku cabul, ia tidak mencukupi untuk melindungi anak-anak kita daripada online grooming. Dalam hal ini, undangundang harus diperketatkan lagi.

Sebagai seorang bapa, saya percaya bahawa jenayah seksual kanak-kanak tidak boleh diambil ringan, dan yakin bahawa ahli-ahli yang lain juga turut setuju. Justeru, saya menyeru agar Kerajaan segera mempertimbangkan cadangancadangan di atas agar kita dapat sama-sama membasmi gejala yang sungguh menjijikkan ini.