Serambi PI: Ucapan semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Parlimen (Bahagian 1)

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institiute

DI tengah-tengah kemeriahan kota peranginan Batu Ferringhi, Pulau Pinang, terdapat sebuah kampung yang tenang dan damai. Dinamakan Kampung Mutiara, kampung seluas 3.5 ekar ini terdiri daripada hampir 80 isi rumah..

Penduduknya sudah lama menetap di Batu Ferringhi. Mereka rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan bergantung kepada ekonomi pelancongan di kawasan sekitar untuk menampung kehidupan.

Pada awalnya, moyang mereka merupakan nelayan yang menerokai kawasan pesisiran pantai. Namun, apabila kerja pembinaan bagi bangunan yang kini dikenali sebagai Hotel Park Royal dimulakan pada lewat tahun 1980- an, penduduk di kawasan tersebut telah dipindahkan kepada tanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Bandar Batu Ferringhi, Daerah Timur Laut, iaitu kawasan yang menjadi tempat tinggal mereka sehingga ke hari ini.

Malangnya, kesentosaan Kampung Mutiara direngkuh berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, diikuti dengan perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan pada 25 Jun 2015 dan akhirnya, notis keluar bertarikh 9 Julai 2015. Kini, berhadapan dengan tindakan pengusiran, nasib penduduk Kampung Mutiara bagai telur di hujung tanduk.

Kes mahkamah antara tuan tanah dan penduduk telah bermula pada tahun 2007, apabila pemiliknya yang telah membeli tanah tersebut melalui lelong bank pada tahun 1991 itu mengambil keputusan untuk mendapatkan milikan kosong (vacant possession). Setelah melalui segala proses mahkamah, keputusan mutakhir mahkamah pada bulan Julai tahun ini bermaksud bahawa penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka tanpa sebarang pampasan.

Sudah tentu, keadaan ini amat membimbangkan. Sebagai wakil rakyat kawasan, saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri tempatan telah membuat sidang akhbar bersama penduduk kampung pada 10 Ogos yang lalu, di mana kami telah membantah keras pengusiran tanpa pampasan ini. Pada masa yang sama, kami juga mengumumkan akan menolak sebarang pelan perancangan di atas tanah tersebut sekiranya penduduk tidak diberi pampasan yang adil.

Namun begitu, tuan tanah berkeras meneruskan tindakan pengusiran. Mujur, pada 24 Ogos, tindakan pengusiran berjaya ditangguhkan hasil kerjasama penduduk, wakil rakyat, wakil Kerajaan Negeri dan pelbagai parti politik termasuk DAP dan Umno, yang membuat benteng manusia untuk menyekat tindakan tersebut.

Ekoran daripada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri mengeluarkan kenyataan menekankan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang pembangunan di atas tanah tersebut selagi penduduk tidak diberi pampasan adil. Walaupun kes ini merupakan kes persendirian antara tuan tanah dan penduduk, dan langsung tidak membabitkan tanah kerajaan negeri, namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan keprihatinan dan tekad untuk membantu penduduk yang teraniaya.

Pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang ini adalah sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 yang mensyaratkan bahawa penduduk yang sudah lama menetap di sesuatu kawasan harus diberi pampasan sebelum pelan pembangunan diluluskan. Malah, contoh terdekat adalah kampung bersebelahan Kampung Mutiara, iaitu Kampung Chetty, yang diberi pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan. Pampasan ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara.

Walaupun pendirian dan usaha Kerajaan Negeri jelas dalam perkara ini, namun masih terdapat pihak-pihak tertentu yang masih menabur fitnah kononnya Kerajaan Negeri tidak membantu penduduk. Saya amat kesal dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas ini, dan menyeru agar tenaga dikerah bagi membantu penduduk dan bukannya untuk menyebarkan tohmahan.

Dalam kes Kampung Mutiara, sumbangan Kerajaan Negeri konsisten dan telah diiktiraf oleh Umno sendiri, apabila Dato’ Ahmad Ismail, pemimpin Umno Bukit Bendera, telah secara terbuka menyatakan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas usaha untuk membantu penduduk kampung.

Sebagai wakil rakyat, saya pun menghargai usaha semua pihak yang membantu dan juga bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, termasuk Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan kemelut Kampung Mutiara.

Justeru, saya ingin menarik perhatian Kerajaan kepada pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Ismail, beberapa hari selepas peristiwa tindakan pengusiran yang tidak menjadi itu. Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan melalui anak syarikat Kementerian Kewangan, iaitu JKP Sdn Bhd, akan membuat tawaran kepada tuan tanah bagi membeli tanah tersebut.

Maka, saya ingin bertanya apakah status tawaran itu, dan jika tidak ada maklumbalas daripada tuan tanah, apakah tindakan seterusnya oleh JKP atau manamana agensi Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelamatkan penduduk di sana? Sejauh manakah komitmen Kerajaan Persekutuan?

Perdagangan gading haram

Tuan yang dipertua,

Penyeludupan gading merupakan satu kebimbangan global yang makin serius, kerana perdagangan ini telah menyebabkan banyak haiwan seperti gajah dan badak menjadi terancam akibat pemburuan haram Misalnya, populasi gajah Afrika yang berjumlah 1.3 juta ekor pada tahun 1979 sudah berkurangan sehingga tinggal kirakira 434,000 hingga 684,000 ekor pada hari ini. Antara tahun 2010 dan 2012, lebih 100,000 ekor gajah dibunuh bagi perdagangan gading haram. Pada tahun ini sahaja, dianggarkan lebih 24,000 ekor gajah telah dibunuh kejam.

Pada tahun 1989, perdagangan gading telah diharamkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna yang Terancam (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora, CITES).

Sekatan ini telah berjaya mengurangkan pemburuan haram, namun, peningkatan permintaan mutakhir ini, khususnya dari China, telah merancakkan kembali perdagangan gading dan menyebabkan berlakunya peningkatan bekalan. Malah, menurut sesetengah anggaran, pemburuan haram dan perdagangan gading kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh 25 tahun, dengan kira-kira 170 tan yang diperdagangkan antara tahun 2009 dan 2014.

Hal ini sangat relevan kerana Malaysia kini kian dikenali sebagai hab pemindahan dan penyeludupan antarabangsa bagi perdagangan hidupan liar dan barangan hidupan liar haram. Baru dua tahun lalu, saluran berita satelit antarabangsa Al-Jazeera telah membuat pendedahan besar mengenai operasi penyeludupan hidupan liar terancang yang berpangkalan di Malaysia dan didalangi oleh “raja cicak” Anson Wong

Sejak itu, nama Malaysia makin terjebak dalam lubuk penyeludupan hidupan liar global. Akhir tahun lepas, umpamanya, pihak berkuasa Thailand telah menangkap seorang warga Malaysia berhubung dengan rampasan 135kg gading gajah Afrika di Wilayah Surin, manakala pada bulan April tahun ini pula, laporan berita mendedahkan bahawa sebanyak 110kg gading yang sedang menuju ke Malaysia berjaya dipintas oleh Perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia

Saya pernah membangkitkan isu ini dalam Dewan yang mulia ini, dan telah dimaklumkan oleh mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar bahawa 4,624 unit gading gajah telah berjaya dirampas antara tahun 2011 dan 2014. Berdasarkan anggaran yang dilaporkan dalam media yang memetik Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Dato’ Seri Khazali Ahmad, nilai gading yang dirampas ini hampir RM20 juta.

Timbalan Menteri juga memberitahu Dewan bahawa empat individu telah pun didakwa dengan tiga kemudiannya didapati bersalah. Gading yang dirampas pula sedang disimpan dalam stok simpanan kerajaan, ataupun government stockpile, kerana siasatan sedang dijalankan ke atasnya.

Di sini, saya ingin tahu status penyiasatan terhadap gading yang dirampas. Adakah sudah selesai, dan jika tidak, bila?

Saya juga ingin tahu apa yang akan dilakukan dengan gading tersebut setelah selesai siasatannya. Ini kerana pelbagai pihak telah pun menimbulkan keraguan mengenai keselamatan stok simpanan yang sangat berharga ini, memandangkan pernah berlaku kes pencurian gading daripada stok simpanan kerajaan Uganda. Di negara kita pula, Tentera Udara Diraja Malaysia sendiri pun pernah kehilangan enjin jet yang bernilai RM50 juta. Jika enjin jet yang dikawal tentera pun boleh hilang, apatah lagi gading gajah?

Justeru, bagi mengelakkan syak wasangka dan sebarang potensi kecurian stock simpanan gading ini, saya mengesyorkan agar Kerajaan segera membenarkan audit bebas oleh badan pemerhati antarabangsa seperti Traffic, iaitu sebuah NGO yang memantau perdagangan hidupan liar, ke atas semua gading dalam milikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Setelah diaudit, stock gading ini harus dimusnahkan secara terbuka, seperti yang diamalkan di banyak negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Filipina, Hong Kong, Singapura, Kenya, Tanzania dan Congo. Jika begitu banyak negara boleh melupuskan gading yang dirampas di hadapan khalayak ramai, tidak ada sebab mengapa Malaysia perlu menyimpannya selama bertahun-tahun.

Memandangkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini mempunyai Menteri dan Timbalan Menteri yang baru, maka saya harap komitmen tegas dapat dizahirkan bagi memulihkan nama negara kita di mata dunia. Hanya dengan bersikap bertanggungjawab dan telus boleh kita meyakinkan dunia bahawa Malaysia serius dalam menangani gejala penyeludupan hidupan liar dan barangan hidupan liar yang mengancam pelbagai spesies haiwan di seluruh dunia.

 document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);