Setelah dua tahun tiada perarakan, Hari Kebangsaan 2022 amat dinantikan

SETELAH dua tahun tiada sambutan besar-besaran seperti lazimnya, perarakan Hari Kebangsaan tahun 2022 ini pastinya dinanti-nantikan oleh semua apabila sambutan boleh diadakan secara fizikal setelah negara memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dalam pada itu sempat mendapatkan reaksi rakyat Pulau Pinang mengenai perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini.

 

 

Kakitangan awam, MARZUANA MANSOR berkata sebelum ini beliau turut menyertai kawad kaki perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri hampir setiap tahun.

 

 

 

“Sebelum pandemik memang hampir setiap tahun masuk kawad, memang seronok walaupun letih, tetapi keletihan itu hilang apabila ramai-ramai masuk.

 

 

“Tahun ini tidak pasti lagi kerana nama masih belum dipanggil, kalau dipanggil saya akan masuk juga macam saya cakap tadi, walaupun letih tetap enjoy,” jelasnya yang bertugas di Jabatan Penjara Malaysia.

 

 

Bagi MOHD. SAIFUL HASZERY HASSAN yang merupakan kakitangan industri memberitahu bahawa perarakan Hari Kebangsaan secara fizikal sememangnya dinanti-nantikan olehnya.

 

“Kalau sebelum ini saya akan bawa keluarga dengan anak pertama, kali ini kalau ada berhasrat bawa anak kedua pula.

 

“Perarakan secara tidak langsung membawa kita kenal dan lebih cintakan negara serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak,” ujarnya yang turut berkongsi memori Hari Kebangsaan sebelum pandemik COVID-19.

Seorang lagi penjawat awam, FIRDAUS BABA menzahirkan rasa semangat untuk menyertai sambutan Hari Kebangsaan namun masih perlu berwaspada mengenai jangkitan COVID-19.

“Kalau boleh jarak mesti dijaga, kes pun kita lihat sedang meningkat, perlu lebih jaga prosedur operasi standard (SOP) macam sebelum-sebelum ini agar kita tidak terdedah kepada jangkitan,” respons beliau yang juga bekas pesakit COVID-19 sebelum ini.

 

 

Bagi jurufoto bebas, AIZAD MUHAMAD pula, perbarisan Hari Kebangsaan secara fizikal amat dinanti-nantikan beliau yang gemar merakam gambar menarik.

 

 

“Pada hari tersebut pelbagai badan beruniform, kerajaan, swasta akan sertai perarakan yang penuh warna-warni jadi suasana agak meriah untuk merakam gambar,” katanya kepada Buletin Mutiara.

 

 

Jadi, bersempena Hari Kebangsaan Kali ke-65 pada tahun ini, ayuh kita beramai-ramai memeriahkan acara sebagai salah satu simbol cintakan keamanan dan kedaulatan Malaysia yang kita cintai.