TANGGAL 19 September 2026 mencatatkan sejarah tersendiri apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, menyempurnakan Majlis Perasmian Setia Fontaines Heritage Park.
Majlis perasmian ikon baharu pelancongan dan riadah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut diserikan dengan kehadiran isteri beliau, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, menyifatkan penubuhan taman rekreasi air bertaraf antarabangsa itu sebagai penanda aras positif dalam menambah nilai pelancongan keluarga.
Kawasan yang dahulunya hanya tanah lapang kini bertukar wajah menjadi taman warisan air yang megah, dihiasi landskap hijau dan hamparan air yang membiru.

Tinjauan lapangan Buletin Mutiara pada petang 22 September 2026 mendapati suasana di lokasi amat damai, selain menerima kehadiran pengunjung yang menggalakkan dari dalam dan luar kawasan.
Seorang pendidik dari Sungai Petani, Kedah, Siti Syuhada Shahbani, 28, mengakui teruja berkunjung ke taman berkenaan selepas keindahan landskapnya tular di platform TikTok.
“Ini kali pertama saya datang, dekat sangat dari rumah.
“Sejak tular di TikTok, saya memang teringin nak tengok sendiri keindahan landskap ‘water heritage park’ di sini,” katanya.
Keterujaan itu turut dikongsi rakannya, Afikah Muzaimi, 28, yang berpendapat taman ini meningkatkan daya huni (livability) di kawasan SPU serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Beliau turut menyifatkan taman ini sebagai alternatif ideal untuk aktiviti berjoging dan beriadah bersama keluarga.
Selain aspek gaya hidup, kewujudan taman rekreasi baharu ini turut memberi nilai tambah dari sudut hartanah.

Persekitaran yang kondusif berpotensi meningkatkan nilai hartanah kediaman dan lot komersial berhampiran, sekali gus memberikan nilai tambah kepada kawasan sekitarnya.
Daya tarikan Setia Fontaines Heritage Park turut diperkukuh dengan kemudahan pusat komersial dan kafetaria seperti ZUS Coffee, Squid Boy, Antie Jenny dan Lambaian Cafe.

Seorang pencipta kandungan TikTok, Azrie Che Anour, 31, memberitahu bahawa taman ini menjadi tumpuan seawal 6.00 pagi pada hujung minggu bagi aktiviti senamrobik, brisk walk dan sesi fotografi perkahwinan.
Sebagai ejen insurans, beliau turut memanfaatkan suasana menenangkan di taman ini sebagai lokasi santai untuk bertemu pelanggan.
Menariknya, taman rekreasi ini turut mesra riadah pada waktu malam.

Pengunjung, Muhammad Ilham Razi, 28, berkongsi bahawa kemudahan lampu limpah yang beroperasi sehingga 10.00 malam di sepanjang trek pejalan kaki membolehkan orang ramai berjoging dengan lebih selamat selepas waktu bekerja.
“Kalau nak menambah nilai Setia Fontaines Heritage Park ini, mungkin perlu disediakan tarikan pelancongan tambahan seperti ‘bot itik’ atau ‘bot angsa’ seperti yang pernah disediakan di tasik dekat Vision Park, Kepala Batas sebelum ini, jika sesuai dengan kedalaman tasik buatan di sini serta selamat untuk pengunjung,” cadang beliau.
Perkembangan ini dilihat seiring dengan Visi Penang2030 yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, seni dan budaya yang kondusif untuk dinikmati seluruh lapisan masyarakat, sama ada pada waktu siang mahupun malam.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI