BERTAM — Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Setia Fontaines Heritage Park, sebuah tarikan rekreasi dan pelancongan baharu seluas 100 ekar di sini.
Keberangkatan tiba Tun Ramli diiringi isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah bagi merasmikan taman rekreasi serba moden yang dibangunkan oleh SP Setia Berhad itu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Tun Ramli dan isteri menyempurnakan majlis berkenaan, di samping mengucapkan tahniah kepada pihak pemaju atas komitmen memajukan kawasan Seberang Perai Utara (SPU).
Menurut Hon Wai, Setia Fontaines Heritage Park dilengkapi tasik buatan manusia seluas 62 ekar, landskap hijau yang asli serta persembahan air pancut berirama yang berpotensi besar menjadi mercu tanda rekreasi keluarga serta tumpuan pelancong di Seberang Perai.
“Taman ini bukan sekadar menyediakan ruang untuk beriadah, malah mewujudkan sebuah destinasi yang boleh dinikmati bersama keluarga dan komuniti.
“Ia memberi satu lagi alasan kukuh kepada pengunjung untuk datang dan meluangkan masa di Kepala Batas serta Seberang Perai Utara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Di samping itu, beliau berkata, pembukaan taman rekreasi ini amat selari dengan Visi Penang2030 untuk meningkatkan daya huni dan kualiti kehidupan rakyat, sekali gus memperluaskan limpahan sektor pelancongan negeri.
Sambil menzahirkan keyakinan terhadap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan komuniti, beliau berharap, destinasi baharu ini mampu menjana aktiviti ekonomi tempatan serta memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat.
Turut berucap ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Zaini Yusoff; Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad, Datuk Yuslina Mohd. Yunus; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD