Setiausaha Bandaraya, Pengurus Besar PHC terima penganugerahan

Admin

PADANG KOTA – Istiadat Hari Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke – 81 Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas hari ini menyaksikan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’.

Turut dikurniakan DSPN pada sesi penganugerahan ketiga adalah Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng.

Addnan ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang menghargai khidmat bakti beliau selama 35 tahun di MBPP.

“Lama saya berkhidmat, sudah 35 tahun, ada juga kerja-kerja komuniti yang saya terlibat, daripada segi pembangunan pun kita boleh lihat banyak perubahan MBPP lakukan sejak tahun 80-an hingga kini.

“Perubahan dan cabaran ketara pastilah dengan pertambahan populasi hari ini dan pembangunan. Perubahan lain termasuk projek infrastruktur, naik taraf jalan dan lain-lain,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini tadi.

Dalam pada itu, Lay Leng ketika ditemui sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajan Negeri serta seluruh kakitangan PHC yang memberi sokongan kepada beliau selama ini dalam menjadikan Bukit Bendera sebuah destinasi percutian tanah tinggi yang menarik.

“Penganugerahan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk bekerja keras dalam menaikkan nama Bukit Bendera.

“Kini, kami (PHC) akan terus memastikan Bukit Bendera sebagai destinasi selamat, penaiktarafan dan paling penting perkhidmatan furnikular sentiasa berada pada tahap terbaik untuk pelancong,” ujarnya.

Serentak dengan penganugerahan hari ini, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi MBPP, Mubarak Junus turut menerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN).

Difahamkan untuk sesi ketiga, seramai 229 penerima hadir menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD/NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD