Siapkan laporan siasatan kes siling bangunan runtuh dalam dua minggu – Datuk Bandar MBSP

Admin

 

BAGAN DALAM – Dua minggu masa diberikan kepada konsultan dan kontraktor utama projek penarafan Bangunan Dato’ Haji Ahmad Badawi untuk menyiapkan laporan siasatan insiden runtuhan siling utama bangunan tersebut di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa pihaknya tidak boleh mengulas lanjut, sehingga meneliti laporan siasatan berwajib kelak.

“Saya minta laporan ini dalam masa dua minggu disiapkan.

“Kita (MBSP) tidak boleh tunggu dalam tempoh yang begitu lama, kerana bangunan ini begitu penting dan cantik, untuk disewa oleh penduduk tempatan,” jelasnya dalam sidang media di lokasi kejadian dekat sini pada 15 Oktober 2019.

Turut serta, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Bahagian Pengurusan Bangunan bagi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Saari Din serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Difahamkan, PDC sebagai pemilik projek telah melantik sebuah syarikat kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja penarafan bangunan itu dengan kos sebanyak RM4.4 juta, bermula pada 18 September 2017 dan siap 14 Mac 2019.

Kemudian, PDC menyerahkan pengurusan bangunan tersebut kepada MBSP pada 16 Julai 2019, dengan tempoh kecacatan sehingga 13 Mac 2020.

Insiden runtuhan siling kira-kira jam 10.30 pagi tadi adalah berlaku dalam tempoh kecacatan. Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan enam pekerja dari syarikat kontraktor, ketika membuat kerja-kerja membaiki beberapa bahagian struktur bumbung yang dikenal pasti bocor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI