Siapkan profil JKKK sebelum Julai – TKMI

Oleh : DARWINA MOHD. DAUD

PADANG LALANG – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyeru supaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) menyiapkan profil perincian dan maklumat kawasan masing-masing selewat-lewatnya 8 September ini.

Katanya, kegagalan pihak berkaitan berbuat demikian bakal menyebabkan elaun pengerusi serta setiausaha JKKK terlibat disekat.

“Profil JKKK ini penting terutamanya sebagai rujukan komuniti antaranya dalam mendapatkan informasi berkaitan sejarah komuniti, peta lokasi, populasi dan prasarana fizikal.

“Saya berharap kesemua 290 JKKK dapat melengkapkan profil masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan,” tegasnya pada Majlis Penutupan Kursus Pemantapan JKKK Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) 2015 di sini baru-baru ini.

Kira-kira 60 peserta mengambil bahagian menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Mohd. Rashid.

Turut hadir, Pegawai Daerah SPT, Jusni Ismail.

Dalam pada itu, wakil JKKK Kubang Hulu, Penanti, Abdul Wahid Mohd.Fauzi,48,berkata,penganjuran kursus tersebut mendedahkan peri pentingnya pengurusan peringkat JKKK serta peranan agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

“Dengan adanya profil JKKK, masalah setempat dapat ditangani dengan lebih mudah ekoran dapat merujuk kepada maklumat lengkap yang diperoleh dan telah ‘disimpan’,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Bagi wakil JKKK Taman Sejahtera, Machang Bubuk, A.T. Shankar, 58, memberitahu bahawa jawatankuasanya merancang untuk menganjurkan program khusus mengenai wanita selepas didedah mengenai peranan sebenar PWDC.

}