Exco harap P. Pinang dapat AS$300,000 Bank Dunia

 Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri menguruskan sisa organik hingga kini diharap melayakkan Pulau Pinang sekali lagi untuk menerima peruntukan kira-kira AS$300,000 daripada Bank Dunia dan United Nations Environmental Programme International Environmental Technology Center (UNEPIETC) kelak.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Anugerah Komuniti Mampan 2015, anjuran bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan syarikat Delta Business Solutions Sdn. Bhd (Delta).

“Pulau Pinang pernah mendapat AS$70,000 daripada Bank Dunia sebagai projek perintis untuk mengurus dan memproses sisa organik peringkat komuniti (di enam kawasan terpilih).

“Jika fasa ketiga (pengurusan sisa pepejal) ini, jika Pulau Pinang berjaya (dipilih), Pulau Pinang akan mendapat peruntukan tambahan sebanyak AS$300,000,” jelasnya di majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Setiausaha Majlis bagi Majlis  Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud dan Choo Eng Hin (Pengarah Urusan Delta) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, dua Ahli Majlis MPSP, Mohd. Sharmizan Mohamad Nor dan Zaini Awang.

Tidak cukup dengan itu, Boon Poh memberitahu, Pulau Pinang juga berpotensi untuk menjadi tuan rumah perwakilan dari negara-negara Asia Pasifik yang datang belajar mengenai kaedah menguruskan sisa pepejal, jika mendapat pengiktirafan Bank Dunia kelak.

Dalam pada itu, Rozali dalam ucapannya memberitahu bahawa MPSP mensasarkan 20 penyertaan membabitkan komuniti.

“Daripada 145 taman perumahan, 20 komuniti disasarkan menyertai anugerah kali ini. Angka tersebut menunjukkan bahawa masih jauh lagi yang perlu dilakukan oleh MPSP,” jelas beliau.

Menurutnya, Delta bekerjasama dengan dengan MPSP sejak tahun 2013, melalui projek pelepasan benih ikan ke Sungai Dua di Pengkalan Machang serta meningkatkan habitat di Sungai Perai.

Pada tahun 2014, tambah beliau, Delta turut menganjurkan program menghasilkan bebola selut untuk dibalingkan ke dalam Kolam Teratai Sungai Rambai demi meningkatkan kualiti air kolam tersebut.

“Tujuan anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif hijau dan penambahbaikan yang dijalankan oleh komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar dan kemampanan komuniti, seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan Local Action (LA) 21 Seberang Perai.

“Prinsip LA 21 digalakkan bagi melahirkan sebuah masyarakat dan komuniti setempat yang sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar untuk diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial,” ujar Rozali.