Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 ‘istimewa’ terima perwakilan dari Selangor, Sabah

GEORGE TOWN – Dua perwakilan dari Sabah dan seorang dari Selangor yang turut memenuhi undangan bagi menyertai Mesyuarat Kedua Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 pada pagi tadi menjadikan ia begitu istimewa dan sedikit kelainan berbanding mesyuarat persidangan sulung yang dianjurkan sebelum ini.

Mereka, perwakilan Selangor, Salmiwati Othman yang berada di kedudukan kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua turut diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang Pulau Pinang; sementara dua perwakilan lain dari Sabah adalah Fazilah Harun (N.30 Sungai Pinang) dan Jamaliah Jamil @ Kinsoi (N.03 Pinang Tunggal).

Sidang Wanita kali ini turut menyaksikan Koay Gaik Kee yang berada di kerusi N.26 Padang Kota diberi tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Semasa merasmikan persidangan kali kedua itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap Sidang Wanita yang dilangsungkan mengikut format persidangan Dewan Undangan Negeri yang sebenar dapat dicontohi oleh Kerajaan Negeri di negeri lain.

“Ini, membuktikan bahawa Sidang Wanita Pulau Pinang diterima baik dan tersebar ke luar negeri.

“Penyertaan ini juga seharusnya dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk menyediakan platform yang sama untuk memperkasakan wanita dalam kepimpinan,” jelasnya sambil memuji komitmen Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang yang mengendalikan mesyuarat persidangan Sidang Wanita kali ini di sini pada 4 Disember 2021.

KESEMUA 40 Perwakilan Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 merakamkan gambar kenangan bersama-sama Speaker Dewan, Law Choo Kiang (depan sekali, tengah) dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri di perkarangan hadapan bangunan DUN Pulau Pinang pada awal pagi tadi.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal memberitahu bahawa menerusi penganjuran Sidang Wanita Pulau Pinang ini, Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap akan berlaku peningkatan peratusan perwakilan wanita dalam peringkat pembuat keputusan serta akan mencecah 40 peratus sejajar dengan sasaran komposisi nisbah seimbang gender.

“Sasaran komposisi nisbah seimbang gender adalah 40:40:20 yang ditetapkan dalam Dasar Keterangkuman Gender iaitu 40 peratus lelaki, 40 peratus wanita dan 20 peratus terbuka untuk lelaki dan wanita supaya tiada satu (gender) yang mendominasi serta keperluan kedua-dua golongan wanita dan lelaki dapat dipenuhi,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 kali ini begitu dinanti-nantikan kerana akan membahaskan usul tunggal begitu penting berkaitan Akta Anti-Gangguan Seksual.

“Saya amat menantikan perbahasan usul ini memandangkan isu gangguan seksual sudah menjadi polemik dalam kalangan mesyuarat sejak sekian lama,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

CHONG Eng (kiri) diiringi Ong Beng Leng selepas selesa sesi pagi Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 di DUN di sini tadi.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa komited dalam usaha untuk menambahkan perwakilan wanita pada peringkat pembuat keputusan.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri baru-baru ini mula mengedarkan Kertas Putih Kerusi Tambahan Untuk Wanita atau Top-Up Women Only Additional Seats (TWOAS).

“Edaran kertas putih ini mendapat sambutan dan maklum balas yang baik daripada ADUN yang mana mereka menyatakan sokongan kepada inisiatif ini ketika sesi perbahasan.

“(Dan) dengan komitmen ini, Kertas Putih tersebut dijangka akan membentangkan rang undang-undang untuk mewujudkan TWOAS dalam masa yang terdekat,” kata ADUN Padang Lalang itu lagi.

Difahamkan, Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 merupakan insiatif Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam dan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Selain membahaskan usul berkaitan Akta Anti-Gangguan Seksual, persidangan kali ini menerima 29 Soalan Lisan dan 58 Soalan Bertulis meliputi pelbagai kepentingan gender di Pulau Pinang.

SUASANA sesi perasmian pembukaan Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 di DUN yang disempurnakan oleh Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang 2021; Mohd. Tuah Ismail (ADUN Pulau Betong); Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam); Lee Chun Kit (ADUN Pulau Tikus); P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan); Pengurus Besar PWDC, Ong Bee Leng merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara perasmian pembukaan persidangan Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 tadi.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB