Sinergi akademi, eksplorasi sains sukan tuai kejayaan luar biasa atlet para memanah Pulau Pinang

1737002c ba15 4c21 8c6d 58026247d664 MOHD. Azizi Shafie (berdiri, dua dari kanan) memberi konsultasi berkaitan sains kesihatan kepada atlet para memanah di gimnasium MSNPP sebagai persiapan menyahut cabaran Para SUKMA 2026 Selangor, Shah Alam.

SHAH ALAM, SELANGOR – Skuad para memanah Pulau Pinang melabuhkan tirai saingan Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor dengan pencapaian cemerlang apabila membawa pulang keseluruhan empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Pencapaian itu sekali gus mengatasi sasaran awal yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), selain memperbaiki pencapaian pada edisi Para SUKMA 2024 di Sarawak.

img 7024
HARITH Suffi Hasnan (tengah) membakar semangat sekalian anak buahnya bagi memberi kemenangan di Arena Memanah Terbuka, Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Selangor, Shah Alam baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Skuad Para Memanah Negeri, Harith Suffi Hasnan berkata, kejayaan tersebut membuktikan perancangan pembangunan atlet yang dilaksanakan secara bersepadu bersama pelbagai pihak membuahkan hasil.

img 7033
HARITH Suffi Hasnan (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama Nurqurratu Aini Abdul Wahab seusai anak buahnya itu mencetak kemenangan pingat emas di sini.

“Semasa SUKMA 2024 di Sarawak, skuad para memanah negeri mengumpul lima pingat iaitu satu emas, satu perak dan tiga gangsa.

“Namun, pada Para SUKMA 2026 di Selangor, kita berjaya menambah koleksi kepada enam pingat.

“Pencapaian ini melepasi sasaran asal kita iaitu satu emas dan satu perak sahaja,” katanya ketika ditemui selepas acara pengalungan pingat di Arena Memanah Terbuka, Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

e601546d 1384 47e4 879b 96031fa0a13e a914126a 14d7 452e 8319 992ccf14d3a4 f25b36b5 292a 48c7 b323 1742db545a9dTerdahulu, pada 7 September, Nurqurratu Aini Abdul Wahab merintis kejayaan apabila menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Pulau Pinang menerusi acara individu wanita compound.

Nurqurratu Aini mengungguli kedudukan dengan catatan 644 mata, termasuk 15 mata 10 dan lapan mata X.

Pencapaian itu turut menyaksikan beliau mengatasi catatan 639 mata yang dinyatakan sebagai rekod terdahulu kejohanan milik pemanah Perak, Nor Sa’adah Abdul Wahab, pada edisi Para SUKMA 2018.

Kecemerlangan skuad negeri diteruskan apabila Anis Humairaa Mohd. Rasli meraih pingat emas dalam saingan akhir acara 50 meter (m) compound perseorangan wanita kategori PI 2.

Dalam saingan penentuan yang sengit itu, Nurqurratu Aini pula meraih pingat perak selepas tewas tipis kepada rakan sepasukannya.

Gandingan Mohd Fahmi Arif Anuar dan Muhammad Hamzah Abdul Halim kemudian menyumbang pingat gangsa menerusi acara 50m compound beregu lelaki kategori PI 2.

Secara keseluruhannya, skuad para memanah Pulau Pinang menamatkan saingan dengan empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Mengulas faktor kejayaan itu, Harith Suffi berkata, pemantapan integrasi program pembangunan atlet antara MSNPP dan Akademi Memanah Epsilon, dengan sokongan Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang, menjadi antara kunci utama kepada kelancaran perancangan serta peningkatan prestasi pasukan.

“Bagi mengekalkan rekod kejayaan serta persiapan menghadapi SUKMA dua tahun akan datang, kolaborasi pelbagai pihak sangat membantu program pembangunan atlet di Akademi Memanah Epsilon.

“Kami memerlukan pendedahan kepada pelbagai bentuk saingan, termasuk berdepan pemanah tanpa kecacatan yang menyertai SUKMA, bagi memperluas pengalaman serta meningkatkan tahap kompetitif atlet para.

“Selain itu, sokongan padu MSNPP dari segi perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan sejak sebelum temasya bermula terbukti sangat membantu sepanjang kejohanan,” katanya.

c2ac3f73 b1d2 42af 97fd b2e538fe4867
MOHD. Azizi Shafie

Dalam pada itu, Ketua Unit Sains Sukan dan Perubatan Sukan MSNPP, Mohd. Azizi Shafie berkata, atlet Para SUKMA sewajarnya diberikan akses yang saksama kepada kemudahan sukan seperti gimnasium dan pusat kecergasan bagi mengoptimumkan prestasi mereka.

“Di Pulau Pinang, kita menyediakan kepakaran dalam penyesuaian fizikal, pemakanan serta fisiologi senaman bagi mengukur perkembangan atlet. Kejayaan seorang atlet di gelanggang sebenarnya disokong oleh kerja keras ramai pihak di belakang tabir.

“Sebagai jurulatih ‘strength and conditioning’, saya menghabiskan banyak masa di gimnasium untuk memastikan fizikal atlet berada pada tahap terbaik menerusi modul perkhidmatan dan latihan terkini mengikut kesesuaian sukan,” katanya.

524ac6e2 7cf4 4226 a279 faeb765fffc6 7a93eeeb 6c36 4466 97ed 19011e852770Beliau berkata, latihan atlet para turut memerlukan pendekatan yang lebih khusus berbanding atlet tanpa kecacatan kerana setiap modul perlu disesuaikan dengan keupayaan fizikal individu.

“Setiap program latihan dibuat berdasarkan keupayaan fizikal masing-masing kerana ada atlet yang menggunakan kaki palsu dan ada yang berkerusi roda.

“Jadi, latihan di gimnasium perlu disesuaikan supaya mereka dapat melakukannya dengan selamat, selain memberikan impak dan kesan kecergasan yang optimum,” jelasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB